PERMULAAN buruk Liverpool dalam musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) nampak gayanya belum ternoktah apabila dinafikan tiga mata oleh Brighton & Hove Albion di Anfield sebaik kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada Sabtu.
The Reds bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum mendahului menerusi jaringan Roberto Firmino pada minit ke-33 dan 54 selain jaringan sendiri pemain lawan, Adam Webster (63), namun jaringan hatrik Leandro Trossard memastikan Liverpool terperosok ke tangga kesembilan EPL apabila sekadar mengutip 10 mata, 11 mata di belakang peneraju EPL, Arsenal.
Disebabkan persembahan hambar The Reds setakat ini, ramai peminat fanatik sudah mula mendesak pengurusan dan pengendali The Reds, Jurgen Klopp untuk membeli pemain baharu yang lebih berkualiti.
Dua gol ledakan Firmino masih belum cukup membantu The Reds membawa pulang tiga mata berharga di laman sendiri. — Agensi
Tambahan pula, berikutan keputusan seri 3-3 yang menyedihkan menentang Seagulls, Klopp nampaknya sudah mula membayangkan bahawa anak-anak buah beliau mengabaikan arahannya dan tak dengar cakap.
Bercakap kepada media selepas wisel penamat di Merseyside, dia berkata: "Saya bercakap dengan pemain kami dengan cara yang sama seperti cara saya bercakap dengan anda (wartawan). Saya tidak tahu berapa kali saya perlu mengatakan kami memerlukan reaksi balas terhadap apa yang terjadi.
“Gol pertama lawan memberi impak kepada kedua-dua pasukan. Mereka semakin agresif sedangkan kami tidak. Tidak hairanlah mereka menggunakan itu untuk gol kedua,” jelas Klopp.
Satu penyelesaian kepada kemelut Liverpool buat masa ini mungkin memulakan usaha memikat salah seorang penyerang terbaik dalam bola sepak dunia — Erling Haaland.
Cuma pada masa sama, Klopp dan peminat The Reds mungkin boleh tersenyum memasang impian apabila bapa penyerang Norway itu yang juga ejennya membayangkan bahawa penyerang itu mungkin tidak berada di Stadium Etihad untuk jangka masa panjang, dia kini telah menyatakan bahawa Liverpool mungkin antara kelab yang boleh menandatanganinya selepas ini.
Alfie Haaland berkata: "Dalam senarai kami, saya fikir City adalah pasukan terbaik. (Bayern) Munich adalah nombor dua. Kami mempunyai Real Madrid sebagai nombor tiga, Paris Saint-Germain sebagai nombor empat.
“Kami juga mempunyai beberapa pasukan Inggeris selain City yang agak bagus. Liverpool dan Chelsea. Juga, terdapat Barcelona. Mereka berada dalam barisan kelab berkualiti yang sama." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram