LIGA Malaysia musim ini hampir melabuhkan tirainya yang menyaksikan sebahagian pemain akan berhijrah ke kelab lain atau kekal di kelab masing-masing.
Bagi musim ini, pemain prolifik negara, Baddrol Bakhtiar mencipta kejutan selepas mengumumkan perpindahan ke Sabah FC setelah hampir 16 tahun berbakti untuk Kedah Darul Aman (KDA FC).
Bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, pemain berusia 34 tahun itu membantu Sabah memanjat tangga carta Liga Super hingga di kedudukan ketiga dengan 42 mata.
Baddrol (kiri) dan Rizal (lima dari kiri) antara pemain berpengalaman yang digeruni Kedah. — Facebook
Bekas tunjang utama barisan tengah pasukan kebangsaan itu berjaya mencetak enam gol peribadi dan empat bantuan gol daripada 20 penampilan sepanjang musim ini.
Jodohnya bersama skuad The Rhinos mungkin tidak sepanjang tempohnya bersama KDA FC apabila pemain itu dikaitkan dengan perpindahan semula ke kelab Sang Kenari.
Tuan empunya badan seakan-akan memberi bayangan dia akan meninggalkan Sabah dan kembali menyarung jersi Hijau Kuning pada musim depan.
Tangkap layar reels yang dimuat naik Baddrol. — Instagram
Di Instagram, pemain yang berasal dari Sungai Petani itu memuat naik video kenangannya bersama Sabah FC pada musim ini.
Apa yang menarik, video hitam putih disertai lagu Usik nyanyian Feby Putri itu seolah-olah memberi bayangan pengakhiran perjalanannya dengan skuad Sang Badak.
Hanya kapsyen ringkas Sabah FC #rhinos #radutatapradu disertakan bersama video yang dimuat naik pada Ahad.
"Adakah Baddrol akan pulang ke Kedah? Nantikan...," komen _arif._o pada hantaran reels tersebut.
"Mai balik Darul Aman Cap BB7," tulis mohd_safirol pula.
Tangkap layar reels yang dimuat naik Baddrol. — Instagram
Sementara itu, akmalhelmii pula menulis, "Video hitam putih dah ni...ada macam tanda balik utara."
"Heheh..awal tu dah bagi hint," kata nishhh_kdg.
"Kedah boleh buat comeback kalau legend balik mai Badd dan Rizal Ghazali," komen zxhidhafxz__9.
Selain komen, video dimuat naik kapten pasukan Sabah itu mendapat 'like' daripada bekas pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang ditamatkan perkhidmatannya menjelang aksi Piala Malaysia.
Turut meninggalkan tanda suka ialah pemain Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty dan pemain import Terengganu FC, Tchetche Kipre selain isteri tonggak JDT, Syafiq Ahmad, Nur Amalina Norain.
Baddrol bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006. — Facebook
Kipre sebelum ini merupakan bekas bintang Kedah pada musim 2020-2021 dan pernah beraksi bersama Baddrol yang terkenal dengan gelaran Captain Marvel.
Untuk rekod, Baddrol bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006 dan pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama skuad Malaysia B-23.
Pada 1 Disember, skuad Sang Badak mengumumkan Baddrol secara rasmi berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Setakat ini, hanya pemain kelahiran Korea Selatan, Park Tae-su yang menyertai Sabah pada 2019, menandatangani kontrak baharu dua tahun bersama Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram