Debaran kian terasa, Perak FC belanja ‘teaser’ jersi, kemunculan wajah baharu musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Tangkap layar 'teaser' terkini dari Perak FC.

PERAK FC semakin giat mengusik peminat-peminat bola sepak tanah air apabila mengeluarkan satu lagi teaser berkaitan dengan perkembangan kelab tersebut.

Kali ini video pendek berdurasi 15 saat memaparkan kelibat beberapa pemain sedang menandatangi kontrak sambil memegang jersi baharu bersama pihak pengurusan Perak FC.

Apa yang menarik, video tersebut diambil pada paras bawah dagu ke pinggang sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya tentang calon-calon yang bakal berada di bawah kendalian ketua jurulatih sensasi, Lim Teong Kim musim hadapan.

Penyokong berteka-teki sama ada sosok ini adalah Arif atau Harith.

Berdasarkan kelibat yang ditonjolkan dalam video tersebut, beberapa nama pemain menjadi sebutan dan antaranya adalah pemain hangat di pasaran Luqman Hakim dan Arif Aiman.

Semuanya gara-gara satu 'shot' yang memperlihatkan belakang dua orang pemain berjersi Perak pada saat ke- 12 sehingga akhir video memiliki persamaan dengan sosok tubuh dua pemain tersebut.

Kontrak Arif yang kini berkhidmat sebagai pemain posisi sayap kanan pasukan Johor Darul Takzim itu bakal tamat pada hujung November nanti manakala Luqman Hakim pernah dilaporkan menerima tawaran bersama pasukan Perak FC sebelum ini.

Kedua-dua pemain ini merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari yang pada ketika itu berada di bawah kendalian jurulatih baharu Perak FC itu.

Luqman pernah dikhabarkan berada dalam radar Perak FC.

Selain itu, terdapat juga nama-nama lain seperti pemain muda Melaka United, Harith Naem, pemain Selangor, Mukhairi Ajmal, dan pemain Sabah FC, Azhad Harraz.

Secara kesimpulannya, penyokong Perak FC dilihat berpuas hati dengan kebangkitan skuad the Bos Gaurus itu dan tidak sabar menunggu pengumuman rasmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram