"SAYA gembira perkara ini dimaklumkan lebih awal." Demikian reaksi Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berhubung pengumuman Malaysian Football League (MFL) tentang tiada lagi penggunaan format kelebihan jaringan tempat lawan dalam saingan kalah mati.
Beliau berpendapat, pasukan akan mempunyai masa untuk mengubah sebarang taktikal berdasarkan peraturan baharu untuk mengejar kemenangan sehingga ke akhir perlawanan.
"Pasukan boleh bersiap sedia tentang apa yang perlu dilakukan kerana kita sudah terbiasa dengan peraturan gol di tempat lawan.”
“Jadi, sudah tentu taktikal setiap pasukan akan berbeza kerana semua pasukan akan mengejar untuk kemenangan dan tidak terlalu memikirkan gawang mereka akan dibolosi jika beraksi di tempat sendiri,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini jika bermain di tempat sendiri dahulu dan dibolosi terlebih awal, sudah tentu pasukan terpaksa mendapatkan dua gol bagi memadamkan kelebihan jaringan lawan.
“Jadi, tanpa lagi gol di tempat lawan, saya jangkakan perlawanan jadi lebih menarik kerana pasukan akan beraksi lebih terbuka dan ini sesuatu yang baik kepada penonton bagi melihat perlawanan yang lebih menghiburkan,” kata Kim Swee lagi.
Kim Swee menjangkakan perlawanan akan jadi lebih menarik pada saingan Piala Malaysia. — Facebook
MFL mengumumkan tiada lagi penggunaan format kelebihan jaringan tempat lawan dalam saingan kalah mati.
Dengan pemansuhan ini, bermakna perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Bahkan, dengan perubahan peraturan itu, pasukan akan berdepan perlawanan yang lebih menarik sehingga ke penghujungnya dan paling penting adalah tidak perlu lagi memikirkan sebarang kelebihan yang ada pada pihak lawan.
Pemansuhan format tersebut akan berkuat kuasa dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober 2022.
Dalam saingan awal, Sabah akan bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram