MFL akhirnya mansuhkan kelebihan ‘away goal’, bermula Piala Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 19 Okt 2022

MFL mengesahkan pemansuhan tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan Piala Malaysia yang dijadual membuka tirai pada 26 Oktober ini

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan memansuhkan pelaksanaan peraturan jaringan tempat lawan dalam kejohanan kalah mati berkuatkuasa pada Rabu selaras dengan perubahan masa kini.

Badan pentadbir Liga Malaysia itu dalam kenyataannya memaklumkan, ia melibatkan Artikel 2.6.3(iv) dan (vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia, yang berkaitan peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati yang turut merangkumi peraturan jaringan tempat lawan.

Kenyataan MFL itu menyatakan, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memutuskan untuk memansuhkan peraturan jaringan tempat lawan bermula musim 2021/2022, sementara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula memaklumkan akan melakukan yang sama bermula musim depan.

"Justeru MFL memutuskan untuk menyelaraskan peraturannya dengan perubahan terkini AFC dan UEFA, dengan memansuhkan peraturan kelebihan 'away goal' dalam kejohanan kalah mati.

"Perubahan peraturan ini bermakna bahawa perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit. Jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MFL mengesahkan pemansuhan tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan Piala Malaysia, yang dijadual membuka tirai pada 26 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram