PENGALAMAN berada dalam lipatan sejarah sewaktu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) muncul sebagai pasukan pertama menjulang Piala AFC pada 2015 sememangnya masih segar di memori pemain kebangsaan, Safee Sali.
Kini, pemain berusia 38 tahun tersebut berpeluang untuk mengulangi semula detik-detik bermakna itu bersama pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC setelah skuad tersebut berjaya melangkahkan kaki ke pentas final Piala AFC pada edisi kali ini.
Menghitung hari menjelang final Piala AFC 2022 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, Sabtu nanti, Safee bersyukur dapat sekali lagi mengulangi detik gemilang itu bersama pasukan berbeza.
Namun, pemain kelahiran Selangor tersebut mahu menganggap kedua-dua penampilannya di pentas final Piala AFC sebagai 'perang' berbeza memandangkan dia bersama pasukan berlainan.
"Bukan senang nak jejak kaki kali kedua ke Piala AFC. Saya hanya membantu KL City FC dari segi sokongan moral sewaktu perlawanan atau latihan. Dapat membuat penampilan kedua di pentas berprestij Asia ini merupakan pencapaian terbaik karier saya.
Detik gemilang Safee (empat dari kanan) bersama JDT menjulang Piala Final AFC 2015. — Bernama
"Dua kelab berbeza, jadi pada saya ini pencapaian berbeza. Dua-dua bermakna bagi saya. Pada masa sama, saya ingin meneruskan karier saya yang mana saya sentiasa 'push' untuk terbaik. Alhamdulillah saya berjaya bawa KL City FC ke tahap lebih tinggi.
"Jika tidak diturunkan dalam kesebelasan utama minggu ini, saya masih lagi berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan KL City FC. Saya dah bersyukur keluarkan keringat dan idea untuk KL City FC sepanjang perlawanan setakat ini," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, KL City FC bakal menerima saingan getir daripada kelab dari Oman, Al Seeb FC sebelum mampu mencipta lagi satu sejarah untuk menjulang Piala AFC pada Sabtu nanti.
Mengulas mengenai tips berdasarkan pengalamannya bersama JDT, Safee nasihat rakan sepasukannya supaya tidak gementar tapi 'enjoy' perlawanan akhir nanti.
"Kalau dah peringkat final ini tidak banyak ditekankan untuk para pemain, mereka hanya perlu menikmati dan 'enjoy' suasana final supaya mereka tidak tertekan dengan perlawanan.
"Yang penting sekali kita dah berada di final...kita mempersiapkan diri dengan baik, tidur dan makan dengan cukup, bersedia untuk perlawanan Sabtu ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram