Khidmat 'living legend' ditagih curah ilmu buat penjaga gol muda Sabah


  • Podium
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Khairul Azman menabur bakti bersama Hijau Kuning sejak saingan musim 2021. — Facebook

JURULATIH penjaga gol berpengalaman, Khairul Azman Mohamed mengambil keputusan membawa haluan baharu selepas menabur jasa dan bakti bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum ini.

Bekas penjaga gol Pahang, Sabah dan skuad kebangsaan berusia 54 tahun itu mengambil keputusan berkenaan selepas menabur bakti bersama Hijau Kuning sejak saingan musim 2021.

Berita tersebut mendukacitakan sebahagian besar penyokong Sang Kenari selepas Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak turut mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu.

Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa, penyokong Sabah turut meluahkan rasa sedih atas perkhabaran itu, namun mereka melihat kesempatan tersebut sebagai peluang untuk Khairul Azman kembali berbakti kepada Sabah FC.

"Sabah Football Club tak nak ambil living legend ni ke jadi coach?," tulis Indera Loka.

Seorang lagi penyokong, Khairul Azman berpendapat, legenda Sabah itu boleh kembali menabur bakti bersama Sang Badak dengan mencurahkan ilmu serta pengalamannya kepada generasi muda.

khairul-azman-mohamed-0a23c31b-3499-4782-9af6-ffa3b4f3694-resize-750

Khairul Azman (dua kanan, belakang) bersama pasukan Sabah ketika beraksi di separuh akhir Piala Malaysia 1995. — Facebook

"Sabah FC boleh ambil dia ni untuk bimbing keeper muda, lagipun Khairul Azman pernah menabur bakti di Sabah FC sehingga beliau menjadi seorang keeper legend.

"Dia juga pernah membantu Sabah FC menjuarai Liga Perdana 1996 dan Piala FA 1995. Tidak salah dia menabur ilmu kepada keeper muda di Sabah FC," tulisnya di SFC Fan Club.

Khairul Azman yang adalah bekas penjaga gol kebangsaan dengan 59 penampilan, memiliki rekod cemerlang sebagai penjaga gol Pahang dari 1985 hingga 1995 dan kemudian menyertai Sabah hingga 2005.

Ketika di Sabah, Khairul Azman yang mesra dipanggil Bro, menjadi magnet perlawanan akhir apabila membantu Sabah menjuarai Piala FA pertama dan terakhir untuk Sabah setakat ini.

Pada 1996, dia membantu Sabah menjuarai Liga Perdana tanpa pemain berpengaruh Matlan Marjan. Ia adalah era kegemilangan Sabah dalam Liga Malaysia hingga menjadi antara pasukan digeruni.

132123508_3181960841904304_8598666826603929720_n

Khairul Azman menabur bakti bersama Hijau Kuning sejak saingan musim 2021. — Facebook

Antara pencapaian membanggakan lain adalah ketika bersama Pahang semasa menjuarai Piala Malaysia 1992 selain pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Malaysia pada ketika itu.

Sebagai jurulatih penjaga gol, Khairul Azman menyertai pasukan kejurulatihan Sabah sebaik sahaja persaraan dan berkhidmat hingga 2009.

Pada 2013, Khairul Azman di samping legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad bergandingan dalam barisan kejurulatihan Johor Darul Takzim (JDT).

Dia adalah antara individu penting dalam membimbing tiga penjaga gol ternama iaitu Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan K Sasi Kumar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram