Piala Malaysia: K. Devan optimis momentum NSFC, Zaquan Adha pula cukup suka


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

Aksi terakhir skuad Jang Hobin dalam Liga Super ketika menentang Sri Pahang baru-baru ini. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) berada dalam momentum prestasi terbaik untuk melakar kejayaan pada saingan Piala Malaysia musim ini, kata pengendali pasukan, K.Devan.

Beliau berkata, ia susulan prestasi konsisten skuad sepanjang saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tempat keempat terbaik liga.

"Setelah tamat Liga Super, pasukan (NSFC) menduduki tempat keempat, ini sudah tentu menaikkan semangat pasukan untuk tampil lebih kompetitif pada saingan Piala Malaysia kali ini, saya yakin prestasi pasukan bertambah baik.

"Piala Malaysia ada sejarah tersendiri, ia juga pertandingan akhir pada musim ini, semangat pasukan lebih berbeza. Pasukan perlu melalui proses permainan dan pemulihan yang baik supaya prestasi berada pada tahap terbaik," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak berkata, saingan Piala Malaysia lebih mencabar dan semua pasukan akan menampilkan prestasi lebih sengit pada setiap perlawanan.

"Secara peribadi saya suka saingan Piala Malaysia kerana suasana persaingan berbeza, edisi kali ini ada perlawanan timbal balik, jadi berkelebihan untuk NSFC apabila beraksi di tempat sendiri.

"Walaupun sekarang ini musim hujan, ia tidak menjadi masalah kepada pasukan kerana saya rasa semua pemain suka beraksi dalam hujan, apa juga keadaan cuaca kita kena teruskan saingan dan skuad juga sudah terbiasa beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan padang yang basah," katanya.

NSFC dijadual bertemu Kedah pada 26 Oktober depan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada perlawanan pertama Piala Malaysia musim ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram