Starbucks Malaysia-Yinson Greentech kini ada 26 stesen pengecasan EV seluruh negara


  • Bizz
  • Selasa, 18 Okt 2022

Starbucks Eco Grandeur, Puncak Alam antara lokasi pilihan pengguna untuk mengecas EV.

STARBUCKS Malaysia dengan kerjasama Yinson Greentech melancarkan 26 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di 17 rangkaiannya di seluruh negara pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad yang juga Pengarah Urusan Starbucks Malaysia & Brunei, Datuk Sydney Quays berkata, Starbucks Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor menjadi lokasi pilihan dalam pelancaran stesen pengecasan EV tersebut.

"Kita menyasarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, lebih banyak stesen pengecas EV jenis pengecasan pantas arus-terus (DC) dan arus ulang-alik (AC) akan dibina di Starbucks di seluruh Malaysia.

"Setakat ini, terdapat 17 rangkaian di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor telah disediakan stesen pengecasan EV ini.

"Usaha ini merupakan salah satu cara Starbucks Malaysia membantu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia rendah karbon," katanya selepas pelancaran stesen pengecas EV di Starbucks Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor pada Selasa.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 2.21.22 PM

Ruslin Tamsir (dua dari kiri) bersama Datuk Sydney Quays (tiga dari kanan) bergambar selepas pelancaran stesen pengecas EV di Starbucks Eco Grandeur, Puncak Alam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Electromobility Yinson Greentech, Ruslin Tamsir berkata, pihaknya bertanggungjawab membina lebih banyak stesen pengecas EV di rangkaian Starbucks Malaysia.

"Setakat ini, terdapat dua jenis pengecasan telah dibina iaitu pengecasan pantas DC dengan 50KW dan pengecasan standard jenis AC ditawarkan.

"Pelanggan hanya perlu memuat naik aplikasi chargEV menerusi Apple Store dan Google Play untuk mengaktifkan sesi pengecasan mereka.

"Bagi menarik lebih ramai pelanggan menyokong usaha ini, syarikat Electromobility menawarkan pengecasan percuma bermula Selasa sehingga akhir bulan ini di stesen pengesan EV di Starbucks terpilih," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram