Polis buru penyamun bertopeng kain kuning, 'sangap' rokok kedai serbaneka Kajang


  • 112
  • Selasa, 18 Okt 2022

Suspek yang bersenjatakan parang turut memakai topi dan mengikat mukanya dengan sehelai kain kuning pada hari kejadian. — Gambar hiasan/Agensi

POLIS sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes samun kedai serbaneka di Taman Semenyih Indah di Kajang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pukul 7.20 malam, seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di premis tersebut telah didatangi suspek yang bersenjatakan parang.

Menurutnya, suspek memakai topi dan mengikat mukanya dengan sehelai kain kuning telah memaksa mangsa membuka kaunter dan menyerahkan wang tunai.

"Suspek berang apabila mangsa berusia 21 tahun itu cuba menipu dengan memberi alasan tiada kunci kaunter.

"Suspek telah menengking mangsa serta memaksanya menyerahkan telefon bimbit, wanita itu kemudian melarikan diri ke dalam stor," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek sekadar melarikan beberapa kotak rokok sahaja.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram