PERLAWANAN akhir Piala AFC yang melibatkan pertembungan antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan juga wakil Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober ini difahamkan akan berlangsung pukul 7 malam.
Aksi penting buat wakil Malaysia itu sudah tentunya menagih sokongan daripada ribuan penyokong tegar dalam usaha memusnahkan harapan lawan di laman sendiri.
Begitupun, aksi dramatik tersebut sedikit mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong The City Boys apabila difahamkan berlangsung ketika azan Maghrib berkumandang yang ketika ini waktunya pada pukul 7.01 malam.
Makluman itu diketahui menerusi poster pembelian tiket secara dalam talian di Facebook KL City petang, Isnin yang memaparkan masa sepak mula pada pukul 7 malam.
Rata-rata peminat berpendapat bahawa pemilihan waktu yang ditetapkan oleh pihak AFC agak kurang wajar disebabkan tidak mesra terhadap waktu umat Islam mengerjakan solat fardu.
Skuad KL City FC tinggal selangkah menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan Piala AFC selepas kali pertama diraih JDT.
Justeru warganet mahu masa sepak mula tersebut diubah kepada masa yang lebih sesuai bagi memberi peluang kepada umat Islam termasuk pemain menunaikan solat terlebih dahulu.
Seorang penyokong, Farhan Hamzah Dahsyat berharap pihak pengurusan AFC dan KL City dapat mengubah masa tersebut kepada pukul 8 atau 9 malam.
“Awal sangat tu. Tengah masuk waktu Maghrib. Itu waktu (pukul 7) Kuala Lumpur dan Malaysia,” katanya.
Turut meluahkan pendapat ialah Wak Muhammad Jamalullail yang berharap kelewatan masuk ke stadium tidak mengapa asalkan solat pada waktunya.
“Permainan pukul 7 malam. Solat Maghrib dahulu. Lewat sikit masuk stadium pun tak apa,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Mohd Shamsol berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan KL City membuat permohonan rasmi kepada AFC agar sepak mula pada pukul malam.
Skuad bimbingan Bojan Hodak itu tinggal selangkah untuk mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Takzim (JDT) pada tahun 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram