Nunez tak faham sepatah ‘haram’ arahan Klopp


  • Podium
  • Rabu, 05 Okt 2022

KEKANGAN bahasa tidak menghalang Klopp daripada menyampaikan pesanan kepada anak-anak buahnya. — Agensi

PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez mendakwa dia masih tidak memahami apa-apa arahan atau pesanan yang dikatakan oleh Jurgen Klopp kepadanya.

Nunez berada dalam kesebelasan utama The Reds apabila mereka menewaskan Rangers 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi Selasa.

Bercakap dengan TNT Sports Brasil melalui somosinvictus.com selepas perlawanan, Nunez mendedahkan halangan bahasa antara dia dan pengurus baharunya itu.

"Kami tidak banyak bercakap kerana saya tidak tahu bahasa Inggeris dan dia (Klopp) tidak faham bahasa Sepanyol.

“Ada penterjemah Portugis, Pep Lijnders, yang bercakap bahasa Portugis dan saya memahami apa yang diperkatakannya.

"Dia dan seorang lagi penterjemah, Victor Matos membantu saya. Mereka akan duduk di sebelah kami dan menerangkan kepada kami apa yang perlu dilakukan.

"Jika mereka tidak berbuat demikian, kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, kekangan bahasa itu tidak menghalang Klopp daripada menyampaikan pesanan kepada anak-anak buahnya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pengurus dari Jerman itu, Nunez berkata, dia dapat merasai keyakinan Klopp terhadap dirinya.

“Klopp sentiasa memberi sokongan dan keyakinan kepada saya. Saya perlu menunjukkannya di atas padang dan mengembalikan keyakinannya,” kata pemain berusia 23 tahun itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram