Kehilangan Mane dirasai, legenda Liverpool optimis Nunez kembali menyengat


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Sejak menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas lepas, Nunez hanya menjaringkan dua gol. — Agensi

PERMULAAN musim sukar buat Liverpool menyaksikan mereka berada di kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sekadar mengutip sembilan mata setakat ini.

Selain kehilangan pemain semasa jendela perpindahan musim panas, kemasukan pemain baharu juga tidak mengubah nasib pasukan itu yang ketika ini sembilan mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal.

Antara pemain baharu yang berjaya didapatkan oleh Liverpool adalah penyerang berbisa, Uruguay Darwin Nunez.

Bagaimanapun, pembelian Nunez dari SL Benfica dikatakan tidak berbaloi dan perkara ini dibuktikan dengan dia hanya menjaring dua gol, satu daripadanya dalam saingan liga.

Selain itu, sikap panas barannya juga menarik perhatian penyokong yang mana pemain berusia 23 tahun itu dilayangkan satu kad merah sejak sertai Liverpool pada musim lepas.

Namun legenda Liverpool, Sami Hyypia percaya bahawa Nunez mampu memberikan impak kepada skuad The Reds.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 6.14.02 PM

Hyypia saat ditemui ketika majlis Pembukaan Rasmi Kedai Merchandise Premium Liverpool FC.

“Ia akan ambil masa yang lama untuk menyesuikan diri bersama EPL tapi saya pasti dia (Nunez) akan menjaring banyak gol bersama Liverpool.

“Tidak kisah berapa banyak dia akan jaring kerana yang penting bila dia akan jaringkan gol untuk kita (Liverpool),” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas majlis Pembukaan Rasmi Kedai Merchandise Premium Liverpool FC di Sunway Pyramid di ibu negara pada Jumaat.

Pembukaan kedai merchandise premium Liverpool FC itu adalah yang pertama di Malaysia dan penyokong The Reds berpeluang mendapatkan pelbagai koleksi seperti jersi, baju polo T, jaket dan pelbagai lagi.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 6.14.19 PM

Hyppia (dua kiri) ketika pelancaran majlis Pembukaan Rasmi Kedai Merchandise Premium Liverpool FC.

Mengulas lanjut, bekas pemain antarabangsa Finland itu percaya bahawa bekas majikannya itu mampu memberikan persaingan yang baik walaupun memulakan kempen dengan langkah kiri.

Meskipun mengakui kehilangan pemain sayap, Sadio Mane sangat dirasai oleh The Reds, Hyypia yakin pengurus pasukan, Jurgen Klopp akan memastikan pasukan itu tidak terlalu lama leka dalam perlawanan.

“Permulaan musim ini memang sukar. Banyak kecederaan dan ketiadaan pemain. Lagi-lagi dengan kehilangan Mane memang dirasai tapi kita tak boleh sekat perpindahan pemain.

“Sekarang ini Liverpool dengan Manchester City banyak beza iaitu sembilan mata. Tapi macam musim lepas, walaupun dah 13 mata beza tapi kita masih boleh kejar.

“Selain itu, saingan liga yang dihentikan akibat kemangkatan Ratu Elizabeth II dan perlawanan antarabangsa membolehkan pemain-pemain yang cedera untuk pulih,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram