EPISOD suram Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini jelas sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Prestasi skuad Sang Kenari itu juga dilihat semakin merudum selepas mengalami kekalahan berganda ketika menentang pasukan Harimau Selatan pada perlawanan Piala FA dan Liga Super.
Lebih malang lagi, KDA FC yang bermula agak baik pada awal perlawanan tidak dapat mengekalkan momentum sekali gus menyebabkan mereka kalah di akhir perlawanan.
Dalam keadaan itu, banyak penyokong menuding jari kepada pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak yang dikatakan gagal memperbaiki dan memulihkan prestasi pasukan.
Namun tidak semua penyokong Sang Kenari meletakkan kesalahan di atas bahu jurulatih dari Singapura itu.
Laman Facebook penyokong Kedahan green yellow berpendapat Aidil tetap perlu dihormati atas sumbangan kepada skuad Sang Kenari.
"Memang ramai yang sekarang ni pertikai kemampuan dia, tapi tak salah kalau kita hormati dia.
"Sekurang-kurangnya dia pun ada sumbangan kat Kedah ni. Bagi dia perabih (habiskan) kerja dia kat Kedah. Kita hormat atas sumbangan dia," katanya di Facebook.
Menurut Kedahan green yellow lagi, nasib Aidil pada musim depan biarlah ditentukan KDA FC.
"Berapa game sahaja lagi untuk musim ini. Kalau nak buang sekarang, kena bayar tebus kontrak," katanya.
Aidil Sharin tetap berjasa kepada pasukan KDA FC. — Facebook
Tambahnya, dia menjangkakan KDA FC bakal melalui proses rombakan besar-besaran pada musim depan yang akan turut melibatkan kejurulatihan, pemain dan struktur pentadbiran kelab.
"Memang musim ini kita banyak kelemahan dan kekurangan. Sebab tu aku lebih suka kita perbetul dulu kelab kita.
"Sekarang ni jangan dilayan provokasi pihak luar. Kita buat elok atau tak elok, tetap saja ada yang tak puas hati.
"Tapi tulah, sekurang-kurangnya kita tahu, kita ada peminat gelap yang sentiasa mengikuti perkembangan kelab kita.
"Baguslah macam tu sanggup perabih masa sendiri untuk kelab Kedah. Jenis macam ni, orang cakap suka dalam benci," perlinya.
Ketika ini, KDA FC berada di kedudukan ketujuh dengan 27 mata selepas merekodkan empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Menjengah ke ruangan komen, seorang penyokong fanatik skuad Hijau Kuning, Man Jitra turut bersetuju dengan pandangan yang dilemparkan pentadbir Facebook berkenaan.
"Penyokong seharusnya memberi ruang kepada Aidil sehingga akhir musim perlawanan. Biaq (biar) perabih musim ni, tok sah (tak payah) kalut kecam Aidil Sharin," tulisnya.
Sementara itu, Aroy Bundle berkata, masalah utama bagi KDA FC adalah pemain dan bukannya jurulatih.
"Bagi aku tak payah tukar Aidil ni, dia okey. Masalah pada pemain saja dan isu ini pun dah tau sedia maklum dah.
"Baru tahun ni ja jatuh skit, pendapat dua kupang (sen), ikut cara yang admin share hari tu, panggil Marcote pair dengan Aidil, biaq depa dua teraju puak-puak Kedah.
"Pemain yang tak boleh main memang kena lepaskan dah. Yang mana okey stay, main sampai dapat serasi, bukan setiap tahun rombak, gila tuan-tuan. Penyokong pun toksah kalut sangat. Haih anak sapa tak tahu aii, marah tak apa, jangan koyak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram