Penyokong Sang Kenari makin hilang sabar, kenapa KDA FC 'kunci mulut' isu prestasi merudum


  • Podium
  • Khamis, 13 Okt 2022

Adakah KDA FC bakal bangkit semula musim depan? — Facebook/Kedah Darul Aman FC

ISU luar padang yang terpalit ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyaksikan pasukan itu gagal mempersembahkan prestasi terbaik seperti tahun-tahun sebelumnya.

Penghijrahan bintang dan tonggak pasukan dikatakan sebagai punca utama di atas prestasi terumbang-ambing sehingga menyukarkan skuad Sang Kenari menunjukkan taring sebenar musim ini.

Namun, ramai juga peminat bola sepak tempatan, terutama dalam kalangan penyokong pasukan, menunding jari ke atas sikap lepas tangan pihak pengurusan.

Tahun ini sahaja, pelbagai isu berbangkit disaksikan dengan beberapa masalah kewangan dan pencapaian diluahkan penyokong menerusi media sosial.

Selain itu, perbalahan antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mencuri perhatian pelbagai pihak.

Meskipun segelintir berasakan perkara itu adalah jenaka daripada kedua pihak, tidak boleh dinafikan bahawa ia serba sedikit mencalarkan reputasi KDA FC sebagai salah satu pasukan megah tanah air.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini, timbul satu lagi masalah apabila terdapat pihak bertindak membocorkan surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyatakan terdapat tunggakan cukai pasukan itu.

Hal itu dikatakan membuktikan masalah pengurusan yang dihadapi Sang Kenari musim ini sehingga menyebabkan majoriti penyokong mula berpaling tadah daripada juara Piala FA 2017 itu.

Namun, bagi seorang peminat tegar KDA FC yang hanya mahu dikenali menerui nama pena Facebook, Pena Bola Kedah, dia tidak melihat terdapat satu hubung kait antara prestasi merosot di atas padang dengan isu LHDN tersebut.

"Berkenaan isu LHDN itu, saya rasa ia tidak ada kaitan dengan prestasi pasukan.

"Isu tunggakan itu sudah berlanjutan lebih daripada setahun dan KDA FC sendiri sudah mengeluarkan kenyataan yang mereka cuba untuk selesaikan dengan bayaran secara ansuran," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, KDA FC membalas kenyataan dengan menafikan laporan dan isu LHDN tersebut selain menegaskan bahawa satu tindakan undang-undang bakal diambil.

307203356_520655146562507_1426027109592160741_n

Kekecewaan penyokong setia Sang Kenari semakin sukar untuk diubati. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada maklumat lanjut akan sumber kebocoran surat itu, sekali gus menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada penyokong.

Ketika ini, KDA FC berada di kedudukan ketujuh selepas merekodkan empat kekalahan berturut-turut dalam saingan liga dengan beberapa pemain mula dilanda kecederaan dan isu kecergasan.

Masalah itu turut dibangkitkan segelintir penyokong yang mula mempersoalkan keputusan pihak pengurusan untuk berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan atas prestasi mengecewakan itu.

Tetapi, bagi penyokong itu, dia menegaskan bahawa ketika pertemuan antara pihak pengurusan KDA FC dan kelab penyokong sebelum ini, isu tersebut sudah dikupas dan satu perbincangan lanjut bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Berkenaan pengurusan, semua pihak sudah sedia maklum yang KDA FC mempunyai pemilik baharu, iaitu Tan Sri Daud Bakar dan sebelum itu juga, pihak pengurusan ada melakukan perjumpaan bersama kelab peminat.

"Dalam perjumpaan tersebut pihak pengurusan memaklumkan bahawa pasukan sudah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sebelum permulaan musim ini," katanya.

Jelas Pena Bola Sepak lagi, satu mesyuarat bakal diadakan pada bulan ini dengan barisan pengurusan baharu akan membincangkan hala tuju pasukan untuk musim akan datang.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu selepas ini bakal menerima kunjungan pasukan di tangga ketiga Liga Super, Terengganu FC sebelum memulakan kempen Piala Malaysia hujung Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram