KEMELUT yang menghadapi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini disaksikan penyokong tegar dengan pasukan itu berada di kedudukan keenam Liga Super.
Segelintir pihak mengatakan prestasi itu adalah berkait dengan masalah dalaman yang dihadapi pihak pengurusan sehingga menyukarkan kelab itu untuk ditadbir dengan baik.
Baru-baru ini, laporan di media sosial melaporkan pasukan utara tanah air itu terpalit dengan satu lagi masalah apabila terdapat isu membabitkan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Laporan menyebut skuad Sang Kenari berdepan isu potongan cukai sejak Julai 2021.
Memetik laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, perkara itu turut menyekat peluang pemain import untuk beraksi di luar negara, iaitu ketika kempen Piala AFC.
"Pasukan Kedah yang dilanda kemerosotan prestasi ketika ini didedahkan punyai masalah dalaman membabitkan isu cukai LHDN hingga menjejaskan pergerakan beberapa staf kejurulatihan dan pemain import ke luar negara," ciapnya menerusi Twitter.
Hantaran itu turut menyertakan surat daripada LHDN yang menunjukkan pihaknya gagal meremit Potongan Cukai Berjadual (PCB) sejak Julai tahun lalu.
Dalam menjawab perkara itu, Majoriti sedang cuba mendapatkan pihak pengurusan KDA FC dalam menjawab isu tersebut, sekali gus menjelaskan masalah tersebut secara lebih lanjut.
KDA FC sebelum ini pernah berdepan masalah hutang LHDN apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan badan induk bola sepak negeri itu memiliki hutang kira-kira RM10 juta awal tahun lalu.
Bagaimanapun, hutang itu katanya sudah diselesaikan bagi membolehkan juara tiga kali Liga Malaysia itu mampu beraksi dalam Liga Super dengan memperolehi lesen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram