Perebutan makin sengit, format kelayakan Piala AFC 2023 berubah


  • Podium
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Pengumuman tersebut dikeluarkan beberapa jam sebelum perlawanan akhir Liga Super berlangsung. — Facebook/ MFL

DEBARAN penyokong tiga pasukan liga tempatan yang sedang menantikan tiupan wisel perlawanan akhir Liga Super 2022 pada Sabtu bagi mengetahui pasukan mana bakal layak ke Piala AFC bertukar dengan kekeliruan.

Perkara itu susulan daripada pengumuman saat akhir Liga Bola Malaysia (MFL) yang mengumumkan bahawa pemilik slot kedua ke Piala AFC 2023 hanya boleh ditentukan selepas berakhirnya Piala Malaysia 2022.

Meskipun perkara tersebut dikatakan sudah diketahui pihak pengurusan setiap pasukan, pengumuman itu serba sedikit menimbulkan kejutan dalam kalangan penyokong.

Ini bermakna pertarungan Terengganu FC, Sabah FC dan Negeri Sembilan FC menentang lawan masing-masing pada Sabtu bukanlah satu-satunya penentu kepada kelayakan tersebut.

Ini bermakna, hanya satu pasukan akan meraih slot secara sah pada Sabtu.

Berdasarkan pengumuman tersebut, tempat ketiga Liga Super belum dijamin tempat ke Piala AFC apabila MFL mengesahkan dua slot kejohanan itu akan diberikan kepada juara Piala Malaysia dan tempat kedua Liga Super.

Pemenang tempat ketiga hanya akan diberi slot sekiranya juara Piala Malaysia daripada kelab sama.

Secara ringkasnya, jika dinilai berdasarkan kedudukan liga saat ini, hanya Sabah FC yang berada di kedudukan kedua akan layak ke Piala AFC manakala Terengganu di tangga ketiga pula perlu menunggu siapa pemenang Piala Malaysia.

Sekiranya Johor Darul Takzim (JDT) yang mengesahkan slot ke Liga Juara-juara AFC menerusi kejuaraan Liga Super muncul sebagai pemenang Piala Malaysia, maka slot tersebut boleh menjadi milik Terengganu (penghuni ketiga liga).

Namun, andai kata pasukan lain selain JDT merangkul kejuaraan Piala Malaysia, pasukan tersebut bakal meraih slot ketiga berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram