KEKALAHAN 0-5 di tangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan Liga Super pada Sabtu lalu mencatatkan rekod perlawanan paling buruk musim ini buat pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Kekalahan itu menyukarkan harapan skuad Jang Hobin untuk beraksi di pentas Asia selepas jatuh ke tangga keempat dengan skuad Sang Penyu berjaya memintas mereka.
Perkara itu membuatkan Ultras Nogori 9 mempersoalkan pendekatan taktikal serta pilihan pemain yang diturunkan pengendali NSFC, K. Devan apabila tonggak-tonggak utama tidak diturunkan.
Namun, K. Devan dilihat tidak melatah dengan reaksi penyokong terhadap perancangan jangka panjang yang telah disusun rapi bagi memastikan pasukannya mampu meraih slot Piala AFC 2023.
Ketua jurulatih berusia 61 tahun menjelaskan keputusannya untuk tidak menurunkan empat tonggaknya ketika bertemu Harimau Selatan adalah untuk memberi mereka ruang bermain pada tiga lagi baki perlawanan.
"Kita telah merehatkan beberapa pemain untuk perlawanan akan datang dengan jadual padat. Mark (Herold Goulon) tidak diturunkan kerana masalah kecederaan.
"Khuzaimi (Piee) tidak diturunkan kerana penggantungan perlawanan. Gustavo (Almeida) dan Yashir Pinto direhatkan kerana memiliki dua kad kuning. Empat tonggak utama tidak bermain menentang JDT.
Kesebelasan utama yang diturunkan bagi menentang JDT pada Sabtu. — Facebook/ NSFC
"Namun, empat tonggak utama ini akan turun pada perlawanan penting iaitu Kedah, Melaka dan Pahang," katanya dalam sebuah kenyataan media yang dikongsi dalam Facebook NSFC.
Ternyata, penjelasan tersebut membuatkan para penyokong NSFC membuat pusingan 'U' apabila tidak lagi mengecam, malah memuji strategi K. Devan yang dianggap sebagai bernas.
Salah seorang penyokong, laisya Saiful berasakan tindakan K. Devan memilih perlawanan untuk 'dikorbankan' sebagai satu tindakan bijak dan akan memberi kelebihan kepada pemain-pemain skuad Jang Hobin.
"Devan kena pilih peluang yang terbaik untuk mengumpul mata di saat-saat terakhir untuk merebut persaingan tempat kedua. Tak guna kalau kita risikokan semua pemain terbaik bagi menentang JDT sekadar untuk rebut satu mata," katanya.
Samsul Sam menambah: "Pilih satu sahaja Jang. Nak menang lawan JDT atau nak layak ke Piala AFC. Baik cipta sejarah masuk Piala AFC daripada cipta sejarah kalahkan JDT.
"Lose the battle, win the war. Yang faham strategi ini je tahu apa yang K. Devan tengah buat," kata Amin Hakimi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram