KESETIAAN merupakan antara kunci utama kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga.
Kehidupan suami isteri boleh hancur sekiranya salah seorang menjalin hubungan bersama orang ketiga.
Baru-baru ini, luluh hati seorang isteri apabila mendapat tahu suaminya tergamak melakukan hubungan sulit dengan wanita lain.
Apatah lagi, perkara itu diketahui pada hari perayaan penting iaitu Karwa Chauth.
Perbuatan curang itu terbongkar apabila si isteri ternampak suaminya sedang membeli-belah bersama seorang wanita di sebuah pasar di Ghaziabad, India.
Berang dengan perkara itu, si isteri bersama ibu dan beberapa orang rakannya bertindak memukul lelaki tersebut.
Apabila teman wanita lelaki itu cuba menyelamatkannya, dia turut dibelasah.
Kejadian pada Khamis itu turut disaksikan oleh orang ramai, manakala ada yang berkesempatan merakamnya sehingga tular di media sosial.
Difahamkan, si isteri sudah membuat laporan polis atas perbuatan curang suaminya, manakala perkara itu masih disiasat.
Sejak kejadian itu, si isteri dilapor tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya, sebaliknya memilih untuk menetap bersama ibu bapanya.
Karwa Chauth merupakan perayaan agama Hindu, yang selalunya disambut oleh penduduk di bahagian utara dan barat India.
Pada perayaan itu, wanita yang sudah berkahwin perlu berpuasa dan mendoakan suami masing-masing agar dipanjangkan umur. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram