PENULARAN surat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung potongan cukai berjadual (PCB) kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC sememangnya mendatangkan implikasi kepada pasukan bola sepak itu selain menimbulkan persepsi terhadap peminat bola sepak tempatan.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli beranggapan penyebarannya tidak wajar jika pendedahan yang dibuat tidak cukup mendalam kerana ia secara tidak langsung akan mendatangkan suatu persepsi buruk dalam kalangan pemerhati dan penyokong bola sepak tanah air.
"Surat itu ada implikasinya, sesiapa yang dapat surat tersebut atau bertanggungjawab kepada dokumen itu sepatutnya menyedari bahawa ia boleh memudaratkan kalau diterima oleh pihak tertentu yang berniat jahat atau mahu mencari perhatian besar.
"Dalam situasi ini perlu ada check and balance sebelum nak mendedahkan, mungkin juga perlu ada pengetahuan yang mendalam tentang isu tersebut," katanya.
Pekan berkata, situasi tunggakan cukai itu perlu diteliti secara terperinci sama ada ia timbul ketika pengurusan terdahulu atau sekarang.
Ini kerana, menurut Pekan, situasi tunggakan cukai itu perlu diteliti secara terperinci sama ada ia timbul ketika pengurusan terdahulu sebelum langkah penswastaan kelab dilaksanakan atau melibatkan pengurusan sekarang.
"Kita kena tengok situasi tersebut, ia masalah Kedah FA (sebelum diswastakan) atau KDA FC? Siapa sebenarnya yang mempunyai cukai tunggakan, yang mempunyai liabiliti dengan hutang itu, adakah yang sekarang atau yang terdahulu?
"Sebab itu saya nak tekankan...kalau kita keluarkan kenyataan tanpa cerita tepat, ia memberi implikasi kepada semua. Jadi kena ada pengetahuan sebelum pendedahan dibuat kerana perkara ini boleh jadi tuduhan satu pihak untuk cuba mensabotaj pihak lain," jelasnya kepada Majoriti.
Untuk rekod, pasukan Kedah melalui proses penjenamaan yang menyaksikan pasukan itu ditukar nama daripada Kedah FA kepada KDA FC pada musim ini susulan langkah penswastaan diambil pasukan itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses transformasi turut dilakukan ke atas logo dan gelaran pasukan berkenaan, yang mana pasukan bola sepak Kedah tidak akan dikenali lagi sebagai Lang Merah sebaliknya Sang Kenari.
Penyokong akan mengaitkan masalah tunggakan cukai dengan prestasi semasa pasukan KDA FC. — Facebook
Sementara itu, mengulas dari sudut sentimen penyokong, Pekan berkata, perkara itu boleh menimbulkan persepsi negatif kerana mereka boleh mengaitkan masalah berkenaan dengan prestasi pasukan.
"Penyokong akan lihat dari sudut itu tapi mereka pun kena ingat, bukan mereka yang bertanggungjawab bayar cukai tersebut, jadi tak fair kalau asyik nak menghentam saja, sebaliknya lihat perkara itu secara menyeluruh kerana pengurusan yang mencari sumber kewangan untuk kelangsungan pasukan.
"Lagipun hal-hal yang berkaitan cukai ni bintang-bintang dunia pun ada masalah sama macam Lionel Messi. Dia pun dilaporkan cuba lari daripada bayar cukai... ia lebih dahsyat daripada yang berlaku ini di negara ini," katanya.
Ciapan daripada Zulhelmi Zainal Azam. — Twitter
Pada Isnin, terdapat ciapan dari wartawan bernama Zulhelmi Zainal Azam yang mengatakan terdapat isu tunggakan cukai LHDN daripada KDA FC dalam tempoh setahun dari Julai 2021 hingga Julai 2022.
Pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menjawab isu tunggakan pembayaran cukai itu pada Rabu dalam satu sesi soal jawab ‘First Instance Body’ (FIB).
MFL pada masa sama mengesahkan bukan pihaknya yang terlibat dalam pembocoran dokumen sulit berkenaan.
Pekan turut menegaskan apa-apa dokumen sulit tidak boleh sewenang-wenangnya diberi dan dikongsikan kepada orang lain terutamanya pihak media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram