LEBIH 1,000 peminat hadir ke acara Morning Morning Suria Belanja Makan yang diadakan pada 24 hingga 30 Disember lalu di Kelantan, Terengganu dan Melaka.
Acara itu diadakan untuk beramah mesra dan bergambar bersama penyampai Morning Morning Suria iaitu Ajak, Suraya dan Shuib.
Ajak bersama sebahagian daripada pendengar Suria FM.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, siri Morning Morning Suria Belanja Makan ini sangat istimewa kerana buat pertama kalinya menampilkan Shuib, penyampai baharu Suria FM bergandingan bersama Ajak dan Suraya.
"Kali ini kami memilih lokasi berbeza berbanding siri Jelajah 90 Suria yang telah pun diadakan pada Ogos lalu di Johor, Pahang, Kedah dan Lembah Klang.
"Kami amat berbesar hati dan bersyukur dengan sambutan hebat peminat Suria FM di Kelantan, Terengganu dan Melaka terhadap acara jelajah Morning Morning Suria Belanja Makan pada tahun ini.
"Lebih terharu, apabila melihat para peminat dah pun tiba di lokasi beberapa jam lebih awal untuk tidak melepaskan peluang untuk makan bersama penyampai kesayangan mereka," katanya.
Aiman Sidek menghiburkan pendengar Suria FM di Terengganu.
Menerusi acara itu, antara kedai yang dikunjungi untuk belanja pendengar ialah di Ayang cafe, Make@Tunjung, D’Perahu Seafood ShahBandar, Nasi Dagang Atas Tol, Aurora Coffee House, The Wau, kedai Roti Canai Kayu Arang dan Restoran Berkat Salam Asam Pedas.
Selain makan, pengunjung di Terengganu turut berpeluang berhibur dengan persembahan istimewa daripada Aiman Sidek, penyanyi yang sedang popular dengan lagu Cinta Sejati.
Dalam pada itu, DJ Lin berkata, mereka akan bergerak ke lokasi terpilih untuk siri Morning Morning Suria Belanja Makan di Pulau Pinang dan Perak bermula 28 Oktober hingga 30 Oktober ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram