KESERIUSAN skuad Selangor FC untuk mencipta skrip berbeza pada musim hadapan terserlah apabila dengan segera melantik jurulatih sensasi, Tan Cheng Hoe sebagai pengendali The Red Giant baru-baru ini.
Sebagai jurulatih berpengalaman, pengendali berusia 54 tahun itu dianggap sebagai calon terbaik bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Selangor yang kini berada dalam episod gelap.
Jurulatih berasal dari Alor Setar itu memiliki rekod sebagai jurulatih dengan sentuhan magis apabila berjaya membawa pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Presiden Selangor FC, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kelihatan hadir pada sesi latihan bersama Cheng Hoe pada Selasa.
Selain itu, dia juga pernah membawa skuad senior kebangsaan menjadi naib juara Kejohanan Piala AFF 2018 serta dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.
Berpandukan misi pertama menjelang kempen Piala Malaysia ini, fokus utama Cheng Hoe adalah untuk memastikan pemain memahami gaya permainannya dengan segera.
Dengan rekod cemerlang Cheng Hoe sebagai jurulatih kelab dan jurulatih kebangsaan, sudah tentu ramai pemain tertarik untuk menyertai skuad merah kuning pada musim hadapan.
Khabar angin mengenai perpindahan Faisal ke Selangor FC bukanlah berita baharu. — Facebook/Terengganu FC
Di laman Twitter, seorang pemerhati sukan bola sepak, Ismael Wong berkongsi senarai bocor 11 pemain yang bakal membantu Selangor FC untuk kembali kepada status kelab gergasi tersebut.
Antara yang menarik adalah pemain-pemain yang sebelum ini dikaitkan dengan Selangor FC turut tercatat dalam senarai bocor tersebut iaitu pemain Terengganu FC, Faisal Halim serta dua lagi wajah penting buat Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, tidak menafikan spekulasi mengaitkan pasukan itu dengan ketiga-tiga pemain tersebut.
Menurutnya, kesemua mereka merupakan antara pemain terbaik dalam Liga Malaysia dan skuad Selangor sentiasa berusaha untuk menambah baik pasukan itu, lebih-lebih lagi dalam menghadapi saingan yang lebih mencabar musim depan.
Akhyar antara tercalon dalam senarai bocor itu. — Facebook/JDT
Turut senarai adalah dua pemain JDT yang sudah menghampiri tarikh tamat kontrak mereka pada November nanti iaitu pemain tengah, Akhyar Rashid dan penyerang hadapan, Syafiq Ahmad.
Selain itu, Selangor FC juga dikhabarkan sudah cuba mendapatkan khidmat pemain tengah Sri Pahang FC iaitu Azam Azih yang sememangnya berada dalam radar The Red Giant sejak musim lepas lagi.
Senarai tersebut juga mendedahkan pemain-pemain Selangor yang masih dikekal dalam skuad ini pada musim depan iaitu Fazly Mazlan, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal.
Senarai tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan nama mana-mana pemain import sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib pemain-pemain seperti Yazan Al-Arab, Herlison Caion, dan Hyuri Henrique pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram