Sumber dalaman KDA FC jawab ringkas isu surat LHDN


  • Podium
  • Isnin, 10 Okt 2022

KDA FC berada di kedudukan keenam berikutan satu musim yang menghampakan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

TIDAK boleh dinafikan, Kedah pernah menjadi satu pasukan yang digeruni dalam liga pada pertengahan 2000-an serta penghujung dekad ini dengan barisan pemain hebat.

Pasukan yang pernah dikendalikan beberapa ketua jurulatih ternama tanah air seperti Tan Cheng Hoe dan Azraai Khor berjaya membawa pulang beberapa trofi dalam tempoh tersebut.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyokong skuad Sang Kenari berasakan pasukan utara tanah air itu gagal meneruskan rentak yang pernah dimiliki sebelum ini.

Mereka menunding jari kepada pihak pengurusan ke atas masalah yang menimpa itu sehingga menyebabkan pelbagai masalah timbul, baik di atas padang mahupun di peringkat pentadbiran.

Kegoyahan struktur kewangan menyaksikan beberapa tonggak pasukan meninggalkan skuad termasuk kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar dan benteng pertahanan, Rizal Ghazali.

Perkara itu diburukkan baru-baru ini apabila terdapat laporan mengatakan terdapat isu tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh setahun.

FeseitJacAII58A

Satu dokumen bocor melaporkan terdapat masalah KDA FC dengan Potongan Cukai Berjadual daripada LHDN. Twitter/@zulhelmizainal1

Isu tersebut dilihat akan memberi kesan yang lebih teruk kepada prestasi dan reputasi pasukan yang sememangnya tidak berada di tahap terbaik ketika ini.

Meskipun tiada penjelasan lanjut atas perkara itu dari mana-mana pihak, satu sumber dalaman pihak pengurusan menjelaskan adalah lebih baik sekiranya rujukan dibuat kepada badan induk bola sepak lain.

"Saya tiada apa-apa komen, anda perlu tanya pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana setiap dokumen kelab akan dihantar kepada mereka kerana ia melibatkan keperluan Lesen Pasukan," katanya kepada Majoriti.

Jawapan itu pastinya menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan penyokong yang mahu penjelasan lebih lanjut daripada pihak pengurusan dalam memastikan pasukan itu terus berkembang.

Namun, dalam mendapatkan lebih banyak, Majoriti juga sedang berusaha untuk mendapatkan respons daripada Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam akan perkara tersebut.

Awal tahun lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat tunggakan bayaran sebanyak RM10 juta kepada LHDN.

Bagaimanapun, menurutnya, hutang itu sudah diselesaikan sebelum permulaan musim sebagai syarat buat mana-mana pasukan yang berhasrat untuk menyertai Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram