Berbaki 2 perlawanan, Aidil mahu perbaiki kelemahan Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 09 Okt 2022

Aksi KDA FC ketika bertemu NSFC dalam saingan Liga Super pada Sabtu. — Facebook

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak mengakui beberapa kesilapan para pemain Sang Kenari membolehkan barisan penyerang pasukan tuan rumah mudah mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Dia juga sedar menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) bukan suatu tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan keadaan padang yang basah.

“Kita akan perbaiki apa juga kelemahan dalam pasukan sebagai persiapan menghadapi baki dua perlawanan sebelum mengakhiri tirai saingan musim ini,” katanya.

Pengendali dari Singapura itu juga akur nasib tidak menyebelahi pasukannya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila tewas 3-4 kepada NSFC dalam saingan Liga Super pada Sabtu.

aidil

Aidil sedar menentang NSFC bukan suatu tugas mudah. — Facebook /KDA FC

Aidil kekal positif selepas anak-anak buahnya berjaya mencipta banyak peluang jaringan, namun tidak tepat ke sasaran.

“Biarpun pada sebahagian separuh masa kedua kita ketinggalan 1-4, tapi pemain saya tidak berputus asa dan berjaya merapatkan jurang menerusi dua gol pada penghujung babak.

"Kesungguhan mereka wajar dipuji, apapun saya puas hati dengan komitmen diberikan pemain sepanjang tempoh perlawanan apabila pemain dilihat tidak berputus untuk mendapatkan gol.

“Kita hampir mencatatkan keputusan yang positif,” katanya.

Dalam aksi tersebut, kemenangan NSFC diraih menerusi dua gol oleh Gustavo Dos Santos dan masing-masing satu oleh Matheus Alves serta Sean Eugene Selvaraj.

Tiga gol Kedah pula hasil sumbangan Mahmoud Al Mardi, Sanrawat Dechmitr dan Marcos Vales Gonzales.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan berkenaan sepatutnya berlangsung pada Jumaat tetapi ditunda susulan keadaan padang ditakungi air selepas hujan sepanjang hari. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram