Selangor FC perlu waspada, jangan pandang rendah The Hawks jika mahu balas dendam


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini memihak kepada PJ City apabila menjinakkan Selangor 1-0 pada penghujung Ogos lalu.

SELANGOR FC di bawah kendalian Tan Cheng Hoe mula menunjukkan 'taring' selepas menang 5-0 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lepas.

Kemenangan itu jelas membawa kegembiraan kepada penyokong skuad Selangor FC dan satu kenangan manis buat bekas jurulatih kebangsaan selepas kembali ke kancah Liga Malaysia.

Bakal bertemu PJ City FC pada Jumaat ini, skuad The Red Giants membawa misi balas dendam selepas The Hawks menewaskan pasukan Merah Kuning 1-0 dalam perlawanan pada Ogos lalu.

Pun begitu, para penyokong Selangor FC berharap pasukan kesayangan mereka tidak leka dengan kemenangan yang diraih baru-baru ini kerana berasakan ia misi penting mengejar semula mata sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta.

4ac4822b8517d891c6ceffa11f111bbe0c85fb24

PJ City adalah pasukan lawan yang sukar diramal dan sebarang kesilapan bakal membawa padah kepada pasukan Selangor. — Facebook

Seorang penyokong, Faizal Laziaf berpendapat, PJ City adalah pasukan lawan yang sukar diramal dan sebarang kesilapan bakal membawa padah kepada pasukan Selangor.

Katanya, Cheng Hoe perlu waspada dengan jentera serangan mereka seperti Darren Lok yang mampu mencipta kejutan dan harus diberi kawalan ketat.

"Dengan coach yang baru serta semangat pemain yang di paras tertinggi setelah menang bergaya ke atas Melaka United, Selangor FC perlu kekalkan momentum dan perbaiki dari segi hantaran dan kawalan bola.

"Target kita cuma tiga mata untuk memburu kedudukan Top 5 dalam liga," katanya.

Aziq Nabil juga berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan itu untuk berdepan dengan PJ City FC.

"Jangan pandang mudah lawan PJ City, pertahanan diorang boleh tahan kebal juga. Jaga-jaga dan jangan selalu lakukan kesalahan harap nanti bermain dengan lebih baik," katanya.

Selangor dilihat boleh memperbaiki kedudukan ke tangga lebih baik jika dapat menambah mata daripada 23 mata sedia ada daripada 19 perlawanan.

Sementara itu, PJ City FC berada di tangga kesembilan apabila mengumpul 20 mata, selain memperoleh empat kemenangan daripada 19 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram