‘Bintang kesayanganlah sangat missing in action’, penyokong Sabah FC resah menjelang aksi lawan Penang


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Penyokong Sang Badak pasti mengharapkan ketua jurulatih menurunkan barisan pemain terbaik. — Facebook/Sabah FC

DUA kekalahan berturut-turut yang dialami Sabah FC memberi kesukaran kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam mengejar slot ke Piala AFC musim depan.

Meskipun menunjukkan semangat juang yang hebat dalam kedua-dua pertembungan bersama Selangor FC dan Terengganu FC sebelum ini, ia dilihat masih tidak cukup buat Sang Badak.

Mereka ketika ini hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga ketiga dan keempat dan perkara itu pasti memberi amaran kepada setiap pemain untuk beraksi dengan lebih baik selepas ini.

Oleh itu, dengan tiga perlawanan yang masih berbaki, Kim Swee pasti mencari pendekatan bersesuaian dalam memastikan mereka berjaya membawa pulang mata maksimum.

Penggunaan pemain-pemain bersesuaian pasti ditekankan bagi membolehkan rentak permainan yang cuba diterapkan mampu membuahkan hasil seperti diharapkan.

309897790_3354492514797858_6167074415760394994_n

Kim Swee (tengah) pasti mahu persembahan lebih baik daripada anak-anak buahnya. Facebook/Sabah FC

Tidak cukup dengan itu, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu semestinya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan beberapa pemain yang dilihat kurang menyerlah sepanjang musim.

Baru-baru ini, dalam perkongsian menerusi laman Facebook rasmi Sabah FC, pasukan itu sempat berkongsi foto yang menunjukkan pemain skuad Sang Badak menjalani sesi latihan sebelum bertemu Penang FC.

Namun, timbul persoalan daripada penyokong yang membanjiri lama komen yang bertanya akan ketiadaan penyerang import, Jose Embalo dalam sesi tersebut.

Tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan pemain kelahiran Guinea-Bissau itu adalah cukup terhad selepas menyertai skuad Sang Badak Julai lalu apabila dia hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan.

Kekurangan penyerang berbisa dalam Sabah FC seperti meletakkan tanggungjawab yang besar ke atas Embalo apabila sentuhan dan ketajamannya di hadapan pintu gol semakin ditagih.

Tetapi, harapan tersebut seakan-akan sukar untuk dipenuhi dengan gerak-geri dan kemampuannya untuk mengelirukan pihak lawan sering tidak menjadi di atas padang.

306627567_3334460290134414_3819867639305714773_n

Embalo hanya berjaya mencetak satu gol peribadi bersama Sabah FC setakat ini. Facebook/Sabah FC

Meskipun perkara itu kurang disenangi segelintir penyokong, masih ramai yang memberi sokongan buat 'penyerang kesayangan' berusia 29 tahun itu dengan melihat dia masih mampu menyumbang sebelum tamat musim ini.

Jadi, kehilangannya dalam sesi latihan itu pasti menimbulkan tanda tanya dengan penyokong masih mahu dia diturunkan ketika bertemu skuad Tok Gajah di Stadium Likas pada Jumaat.

"Tolonglah, harapnya pihak kejurulatihan menurunkan Jose Embalo untuk baki-baki perlawanan ini. Jadikan dia penyerang tunggal dan sebagai tumpuan jentera serangan," kata Ipar De Domm.

"Mana (bintang kesayangan) Embalo ni? Takkanlah apabila dia berjaya menjaringkan gol ketika lawan Selangor FC, terus sudah tidak diberi peluang untuk bermain?" soal Winly Baa.

"Sebelum ini juga, sudah tidak kelihatan dalam sesi latihan dan apabila ditanya, ramai mengatakan dia mengalami kecederaan. Mungkin sudah ditamatkan kontraknya," kata Lex Lufin.

Embalo kali terakhir diturunkan ketika pertemuan bersama skuad Gergasi Merah yang menyaksikan dia berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan daripada luar kotak.

Kehilangannya juga dipersoalkan dalam perlawanan menentang Terengganu FC, di mana anak-anak buah Kim Swee ditumpaskan 0-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Selepas bertemu Penang FC, skuad The Rhinos bakal berkunjung ke Stadium Darul Makmur untuk bertemu Sri Pahang FC sebelum menamatkan kempen dengan pertembungan bersama juara liga, Johor Darul Takzim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram