PENYERANG import Melaka United, Ifedayo Olusegun dikhabarkan berminat untuk kembali memperkuatkan Gergasi Merah Kuning bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Tambah menarik lagi apabila status pemain import penyerang kelahiran Nigeria itu dikhabarkan bakal bertukar sebagai pemain naturalisasi bermula musim baharu nanti.
Ini kerana, bekas penjaring terbanyak musim 2021 sudah menepati syarat bermain dalam Liga Malaysia sejak 2017 dengan mewakili pasukan Felda United, Melaka United dan Selangor FC.
Perkara tersebut dikongsikan oleh @selangorfans_official di Instagram berserta kapsyen mengenai perkembangan tersebut pada Khamis.
"Ifedayo last musim ini dengan Melaka United, katanya musim depan akan dinaturalisasikan.
"Ifedayo juga nyatakan berminat untuk kembali ke Selangor FC jika mendapat tawaran," tulisnya di Instagram.
Ifedayo sebelum ini menolak tawaran kontrak daripada Selangor kerana menerima tawaran gaji yang lebih tinggi bersama MUFC. — Facebook/Melaka United.
Sebelum ini, Ifedayo memutuskan untuk meninggalkan Selangor apabila dia menerima tawaran gaji yang lebih tinggi daripada pasukan Melaka United.
Walaupun ketika itu pihak pengurusan pasukan dikhabarkan cuba untuk memberi tawaran kenaikan gaji sebanyak 30 peratus, namun nilai tersebut masih tidak dapat menandingi tawaran yang diberikan kepada Ifedayo oleh kelab terbabit.
begitupun tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata penyokong Selangor tidak bersetuju jika pihak pengurusan memasang impian untuk membawa kembali Ifedayo ke dalam pasukan musim depan.
Ifedayo menjadi salah seorang pemain paling berbisa yang pernah bermain bersama Selangor dengan memenangi anugerah kasut emas. — Facebook/Melaka United
"Lebih baik move on sahaja dengan dia ini, ambil penyerang yang baharu, musim 2023 liga tambah mencabar," kata @Haimansyafiq.
"Penyudah dia baik, tapi itulah ambil sahajalah import baharu," ujar @Izhn.
"Maaf, rasa elok cari yang lagi power, takkan setiap musim nak kena gelak sahaja," jelas @Mr.dr4cul4.
Tak perlu, buat habis beras sahaja sebab semua nak kena suap depan gol, tahun depan ambil pemain import yang berkualiti," luah @Muhammadfitri4576.
Untuk rekod, penyerang berusia 31 itu pernah menjadi salah seorang pemain paling berbisa yang pernah bermain bersama Selangor dengan memenangi Anugerah Kasut Emas dan memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super Malaysia.
Sepanjang beraksi bersama Selangor, Ifedayo menjaringkan 56 gol dalam 57 penampilan yang dijalani, termasuk dua anugerah Kasut Emas saingan Liga Super pada musim 2020 dan 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram