Penyokong Gergasi Merah puji sikap gentleman kapten Brendan Gan


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Nama Brendan Gan (tengah) dijulang selepas Selangor FC mengutip tiga mata apabila menewaskan MUFC 5-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu. — Facebook/Selangor FC

PERMULAAN karier kejurulatihan yang baik buat pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe apabila anak buahnya mudah membenam pasukan bergelut, Melaka United FC (MUFC) 5-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Lima jaringan yang dihasilkan membuktikan sentuhan ketua jurulatih kelahiran Kedah itu membuahkan hasil walaupun baru sahaja memegang jawatan itu hujung bulan lalu.

Meskipun segelintir penyokong berpendapat kejayaan itu terhasil ketika berdepan skuad Hang Tuah, majoriti masih berasakan ia satu kemenangan yang manis.

Ketika pasukan itu jelas bergelut musim ini, kehadiran Cheng Hoe seakan-akan mengubah nasib mereka dengan tiga perlawanan Liga Super masih perlu dihadapi.

Namun, di sebalik sentuhan yang dilakukan pengendali baharu itu, muncul satu nama yang sememangnya sudah dianggap sebagai pemain terbaik musim ini.

Kapten pasukan, Brendan Gan sememangnya dianggap sebagai wira Gergasi Merah meskipun baru sahaja menyertai skuad tersebut pada November tahun lalu.

309359688_520353916763008_3830223766766058463_n

Cheng Hoe lulus dalam ujian pertamanya sebagai ketua jurulatih Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

Pemain yang dianggap sebagai tonggak Harimau Malaya itu sering diturunkan dengan semangat dan sumbangan yang berbeza daripada rakan sepasukan meskipun pernah mengharungi beberapa edisi kecederaan.

Tegas, komited dan kental merupakan sebahagian daripada ciri-ciri penting buat Brendan dalam meletakkan namanya sebagai antara figura penting buat Selangor FC musim ini.

Dalam pertembungan dengan Melaka United, Brendan berjaya menjaringkan dua gol pada babak kedua dengan satu daripadanya merupakan percubaan cantik daripada jarak dekat.

Tetapi, apa yang menarik perhatian adalah ketika pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu memberikan peluang kepada penyerang, Herlison Caion untuk mengambil sepakan penalti sebelum tamat permainan.

Meksipun Brendan berpeluang untuk mencatatkan hatrik, keprihatinan di atas kritikan yang dilemparkan penyokong ke atas pemain Brazil itu menjadi asbab di atas tindakannya itu.

Selain itu, sepanjang 90 minit permainan, visi dan kepakaran pemain tengah itu dalam mencari rakan sepasukan menjadi kunci dalam membenam skuad Hang Tuah.

Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan bahawa nama Brendan dijadikan bahan bualan penyokong Selangor FC yang tidak henti-henti memuji sumbangan pemain itu.

Bagi Suhelmi Kiso Sudarso, keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Caion merupakan perkara yang menunjukkan kualitinya sebagai kapten dalam menaikkan lagi semangat penyerang tersebut.

"Brendan Gan boleh sahaja mencatatkan hattrik, tetapi dia memberikannya kepada rakan sepasukan sebagai sumber motivasi dan menggalakkan semangat sebagai penyerang yang sukar mencipta jaringan," katanya.

Seorang lagi penyokong, Saiful Redzuan memberi pujian ke atas pasukan itu, lebih-lebih lagi buat kapten pasukan di atas semangat dan keazamannya itu.

"Padu Selangor terutamanya Brendan Gan kerana menunjukkan semangat juang tinggi dan bermati-matian untuk pasukan itu selain menjaringkan dua gol," katanya.

Izzudin Istakal juga memuji persembahan anak-anak buah Cheng Hoe dengan meletakkan Brendan Gan sebagai pemain terbaik perlawanan dengan sumbangannya sepanjang 90 minit perlawanan.

"Brendan Gan boleh sahaja untuk mendapatkan tiga gol dalam perlawanan itu, tetapi dia pilih untuk berikan kepada Caion. Memang terbaik kapten," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram