Lelaki Afrika maut ditetak rakan senegara di kelab malam


  • 112
  • Isnin, 03 Okt 2022

Polis menahan enam lelaki dan dua wanita warga Afrika bagi membantu siasatan kes pergaduhan di kelab malam.

SEORANG lelaki warga Afrika meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur selepas terlibat dalam satu kejadian pergaduhan.

Kejadian berlaku di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak kira-kira pukul 5.35 pagi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, anggota Balai Polis Pudu dimaklumkan terdapat tiga lelaki warganegara Afrika cedera dipercayai terlibat dalam pergaduhan.

“Kesemua mangsa mendapat rawatan di hospital swasta. Salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan luka akibat tetakan pada bahagian belakang leher.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dan rakannya bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang juga warganegara Afrika,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju menahan enam lelaki dan dua perempuan warga Afrika dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03 9289 9222 atau Hotline Kuala Lumpur 03 2115 9999 atau balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram