'Guard of honor' cuma upacara, bukan kewajipan — Azraai Khor


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Kelantan FA pernah membuat upacara 'guard of honour' bagi meraikan kejuaraan JDT pada 2017. — JOHOR tetap JOHOR - JTJ

KEKALAHAN Sabah FC di tangan Terengganu FC mengesahkan status Johor Darul Takzim (JDT) sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Meskipun masih terdapat empat baki perlawanan, perbezaan mata antara JDT dan pasukan di tempat kedua itu membolehkan barisan pemain berasa teruja dengan hasil titik peluh mereka.

Namun, pasukan kendalian Hector Bidoglio masih perlu menghadapi empat baki perlawanan dengan pertembungan bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pasti menjadi tumpuan penggemar bola sepak tanah air.

Umum mengetahui, kedua-dua pasukan mempunyai pertembungan sengit di atas padang beberapa tahun kebelakangan ini dengan masing-masing bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Walaupun kejayaan JDT tidak boleh dinafikan, skuad Sang Kenari jarang mengibarkan bendera putih secara terlalu awal apabila sering menampilkan persembahan meyakinkan dalam setiap pertembungan penting.

Di samping itu, kemampuan KDA FC juga tidak boleh dinafikan setelah mereka muncul sebagai naib johan musim lepas meskipun mempunyai jurang perbezaan mata yang besar.

Dalam pertembungan selepas ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu bakal menerima kunjungan JDT di Stadium Darul Aman dan pastinya ia satu perlawanan yang getir buat mereka.

51644107891_TBazraai

Azraai Khor merupakan sebagai legenda dalam bola sepak Kedah. Agensi

Selain persiapan awal di atas padang, terdapat juga kata-kata dalam kalangan penyokong yang melihat pemain KDA FC wajar untuk menyambut kehadiran skuad JDT dengan melakukan 'guard of honour'.

Sekiranya diteliti dalam sukan bola sepak secara gambaran besar, upacara itu dilihat sebagai satu bentuk penghormatan buat pasukan yang baru sahaja ditabal sebagai juara liga atau memenangi sesebuah pertandingan besar.

Perkara itu pastinya memberi kesan buat penyokong Hijau Kuning apabila mereka perlu melihat barisan pemain memberi penghargaan buat skuad seteru utamanya itu.

Tetapi, bagi bekas jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor, dia berpendapat perkara itu bukanlah satu perkara yang wajib dilakukan kerana tiada peraturan rasmi yang berkata demikian.

"Itu tertakluk kepada arahan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau dari pihak tuan rumah sendiri mahu melakukannya, itu terpulang kerana tiada dalam peraturan

"Andai kata, pihak KDA FC mahu buat, tiada masalah apa semua. Mungkin untuk meraikan juara baharu dan itu hanya terserah kepada pihak yang terlibat," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, perkara itu adalah berdasarkan sifat kesukanan mana-mana pihak dan berpendapat sekiranya pasukan lain mempunyai pandangan tersendiri, ia tidak mendatangkan sebarang masalah.

Azraai sebelum ini pernah bergelar ketua jurulatih Kedah FA pada 2004 hingga 2009 dengan memperolehi pelbagai kejuaraan, termasuk mencatatkan 'double-treble'.

0e98c00fb2b12c786478c3e101afde3b0479dfc9

Pertembungan antara KDA FC dan JDT sering dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air. — Agensi

Pengendali berusia 69 tahun itu juga tidak asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila pernah membimbing beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan dan Kelantan.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai peluang buat kedua-dua pasukan dalam pertembungan itu, Azraai melihat KDA FC dan JDT akan menampilkan persembahan terbaik.

"Bagi saya, walaupun sudah ditabal sebagai juara, JDT pasti akan turun dengan sepenuh semangat.

"Bagi Kedah, sudah tentulah kerana ia merupakan maruah buat pasukan, pasukan mana yang tidak mahu mencatatkan kemenangan? Tetapi, kita kena faham, cabaran apakah yang bakal dihadapi mereka?" katanya.

KDA FC selepas ini bakal berdepan menghadapi ujian getir apabila bakal berdepan Negeri Sembilan FC dan JDT sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagi perlawanan terakhir musim, skuad Sang Kenari akan menerima kunjungan Terengganu FC dalam usaha menambah baik kedudukan pasukan dalam carta Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram