KHABAR angin perpindahan penyerang Harimau Malaya, Akhyar Rashid ke kelab lain dalam Liga Malaysia sudah kedengaran sejak pertengahan tahun lagi.
Pemain berusia 23 tahun itu dikatakan bakal meninggalkan kelab terkininya, Johor Darul Takzim (JDT) selepas difahamkan akan dipinjamkan ke Sabah FC.
Terbaharu, Akhyar dikaitkan dengan Selangor FC selepas nama pemain yang berasal dari Kedah itu kononnya ada dalam 'senarai bocor' pilihan ketua jurulatih baharu skuad Merah Kuning, Tan Cheng Hoe.
Beraksi cemerlang pada hujung musim dengan membantu skuad Harimau Malaya ke final Piala Raja Thailand baru-baru ini selain mempamerkan aksi lincah dalam pertemuan JDT dengan Negeri Sembilan FC, rata-rata penyokong agak keberatan melihat pemain itu angkat kaki ke skuad lain.
"Admin (kelab penyokong JDT), mohon slow talk dengan management untuk kekalkan Akhyar. Akhyar ni boleh perform dengan syarat bagi dia main lama sikit.
"Tak dapat gol, dapat kucar-kacirkan lawan pun okey dah," tulis Zulhilmi Baharom di Facebook JDTFC.
Corak permainan Akhyar dikatakan boleh membuatkan benteng lawan kucar-kacir. — Facebook
Ada yang berasakan Akhyar perlu lebih banyak diturunkan oleh Hector Bidoglio dalam kesebelasan utama untuk menonjolkan ketangkasannya di atas padang.
Bersama bekas jurulatih JDT, Benjamin Mora, Akhyar kurang mendapat peluang untuk mengasah 'taringnya'.
Berdasarkan data transfermarkt.com, pemain berketinggian 1.69 meter itu hanya diturunkan tiga kali sepanjang musim dengan mengumpul 38 minit masa permainan.
Mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang Negeri Sembilan, pemain sayap kiri itu dilihat memberikan aksi terbaik selepas digandingkan dengan Arif Aiman di sebelah kanan.
"Apabila Akhyar dan Arif di depan, kucar-kacir back lawan. Pairing yang menakjubkan. Laju macam lipas kudung," komen Shams Atengs di Facebook Johor Southern Tigers.
"Tahniah Akhyar...tak payahlah pergi Selangor musim depan, kekal saja di JDT," kata Farid Hussein.
Dalam perlawanan itu, JDT berpesta gol selepas menewaskan The Jangs dengan keputusan 5-0 sekali gus melonjakkan kedudukan mereka di carta Liga Super dengan 46 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram