Faisal Halim mungkin 'follow' Nafuzi Zain ke Kedah, pertimbang 5 tawaran termasuk Selangor, Sri Pahang


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Antara aksi Faisal menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada Sabtu yang berkesudahan TFC melakar kemenangan 2-0. — Facebook/TFC

KHABAR angin mengenai perpindahan pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim ke pasukan lain masih menjadi topik bualan para penyokong dan terbaharu dia mendedahkan bahawa selain skuad Penyu dan Selangor FC, terdapat tiga lagi kelab menagih khidmatnya pada musim depan.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan bahawa dia belum lagi membuat keputusan muktamad mengenai kelab baharunya.

Memetik laporan Berita Harian, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menceritakan bahwa sudah menerima tawaran lanjutan kontrak daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd minggu lalu.

Namun, setakat ini dia belum lagi menandatangani kontrak perjanjian dengan mana-mana pasukan termasuk bersama skuad Penyu.

"Setakat ini, lima pasukan menyatakan hasrat mahukan khidmat saya musim depan termasuk TFC yang sudah menawarkan kontrak lanjutan sebaik saya pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan di Thailand minggu lalu selain Selangor FC dan Sri Pahang FC.

faisal

Faisal pada awalnya dikaitkan dengan Selangor. — Facebook/TFC

“Bagaimanapun, saya belum lagi membuat keputusan muktamad berhubung destinasi saya kerana fokus saya adalah bersama pasukan TFC dengan baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Lagipun, buat masa ini saya rasa tidak sesuai untuk saya maklumkan pasukan yang diwakili selepas ini, dakwaan yang menyatakan saya bakal ke Selangor FC itu hanyalah desas-desus dalam dunia bola sepak.

“Mungkin selepas Piala Malaysia berakhir musim ini, saya akan umumkan destinasi saya seterusnya, tapi apa yang penting saya dan keluarga suka tinggal di Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhir perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Sabtu yang berkesudahan pasukannya melakar kemenangan 2-0.

Selain itu, Faisal juga menjelaskan bahawa faktor gaji bukanlah perkara utama yang dipertimbangkannya bagi memutuskan untuk menyertai sebuah pasukan baharu.

"Saya masih meneliti tawaran daripada lima pasukan berkenaan, ia bukan soal minta gaji besar atau sebaliknya, tapi apa yang penting saya mampu atau tidak beraksi dengan pasukan baharu itu nanti dengan sumbangan yang baik.

nafuzi zain

Nafuzi dikatakan bakal berhijrah ke Darul Aman pada musim depan. — Facebook/TFC

"Selain itu kelab berkenaan menghargai atau sebaliknya pengorbanan saya, jadi saya harap semua gembira dengan keputusan yang bakal dibuat nanti.

"Namun yang pasti jika jurulatih, Nafuzi Zain kekal membimbing pasukan ini (TFC), mungkin saya kekal, tapi jika Nafuzi pergi ke Kedah atau pasukan lain, mungkin saya akan pergi sekali, jadi kita tunggu dan lihat, lagipun saya mahu fokus kepada majikan saya terlebih dahulu," katanya.

Jika benar Faisal bakal mengikuti jejak langkah gurunya, berkemungkinan untuk pemain itu ke Kedah Darul Aman adalah tinggi berikutan khabar angin mengaitkan Nafuzi bakal berhijrah ke skuad Hijau Kuning. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram