KEKALAHAN di laman sendiri pasti meninggalkan luka mendalam buat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tewas 0-1 pada saingan Liga Super menentang Petaling Jaya City (PJ City) pada Sabtu.
Pada perlawanan tersebut, penyerang import Kedah, Ronald Ngah Wanja mendapat peluang membuka jaringan pada minit ke-62, tetapi disia-siakan walaupun dia tidak dikawal kemas pertahanan lawan.
Situasi tersebut membuatkan pemain dari Cameroon itu bagaikan tempang apabila dia seakan-akan tidak serasi dengan rakan sepasukannya yang tidak mampu untuk bekerjasama untuk menjaringkan gol untuk pasukan.
Tidak dapat dinafikan, percubaan dan posisi Ronald Ngah menjadi kunci di atas kemampuannya itu dalam mencatatkan 13 gol selain mencipta 5 bantuan hantaran buat rakan sepasukan dalam saingan Liga Super dan kempen Piala AFC pada musim ini.
Namun, pemain yang terkenal dengan panggilan 'Pak Ngah' dalam kalangan penyokong juga dilihat jarang membantu rakan sepasukan ketika usaha mencipta gerakan berbahaya selain jarang memberi tekanan kepada benteng pertahanan.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya terdapat kemungkinan bahawa penyerang kelahiran Cameroon itu bakal digantikan musim depan walaupun tiada khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan keluar daripada Kedah.
Tangkap layar status Insta Story yang dimuat naik Ronald Ngah.
Namun, status terbaharu Ronald Ngah menimbulkan tanda tanya apabila dia bagaikan memberikan 'hint' bahawa kontraknya bersama pasukan Kedah tidak akan diteruskan.
Pemain 31 tahun tersebut menggunakan laman Insta Story untuk memuat naik sekeping gambar mengandungi kata-kata semangat agar tidak berputus asa setelah ditolak dan gagal.
Kata-kata itu menegaskan bahawa satu sahaja perkara yang mampu memberhentikan seseorang daripada mengejar impian mereka iaitu individu itu sendiri.
Berdasarkan semakan pada laman transfermarket, kontrak Ronald Ngah yang menyertai skuad Sang Kenari pada awal musim lalu bakal berakhir pada November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram