TMJ anggap perjalanan Arif Aiman masih jauh


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Arif Aiman (kiri) merupakan pemain sayap utama buat pasukan JDT milik TMJ.

"BAGUS Arif. Kekal merendah diri dan tetap berdisiplin. Kau masih muda dan perjalanan masih jauh".

Itu nasihat yang dititip Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dalam laman sosial Instagram.

Baginda berkata, pemain muda itu harus sentiasa merendah diri dan tetap disiplin walaupun diri berada di atas.

Nasihat ini dicatat Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya di ruang komen Instagram Arif Aiman.

Pemilik JDT itu turut mendoakan Arif Aiman diberkati oleh ALLAH dan diberi banyak lagi rezeki serta kejayaan di mana sahaja pemain itu berada terutamanya dalam bidang bola sepak.

"Jaga diri," catat Tunku Ismail.

Catatan itu dibalas Arif Aiman menerusi tekad dan janji untuk sentiasa mengingati pesanan TMJ.

"Junjung kasih Tunku atas segalanya. Saya akan sentiasa ingat semua pesanan Tunku. Insya-ALLAH,” katanya.

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya membawa JDT menang dalam saingan Liga Super untuk merangkul kejuaraan kesembilan berturut-turut buat skuad Harimau Selatan.

JDT pada awal musim ini meraih Piala Sumbangsih serta Piala FA dan skuad Harimau Selatan juga dalam pemburuan Piala Malaysia untuk bergelar quadruple. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram