KERAJAAN negeri Kedah tidak akan membenarkan sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakukan di luar tatasusila berkuat kuasa serta merta.
Ia susulan aksi terkinja-kinja penonton ketika konsert hiburan dalam penganjuran Muda Mudi Weekend Fest di Balai Seni Alor Setar, Kedah selama dua hari bermula pada Jumaat dan Sabtu.
Membangkitkan lagi kemarahan orang ramai apabila konsert tersebut berlangsung di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah yang disifatkan sebagai tidak menghormati agama Islam.
Muhammad Sanusi Md Nor mengulas tentang penganjuran konsert hiburan di negeri itu baru-baru ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, konsert hiburan dalam penganjuran Muda Mudi Weekend Fest mencetuskan kelakukan di luar tatasusila.
"Kejadian muda mudi terkinja-kinja tanpa arah ketika konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar pada Sabtu menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.
"Penganjuran acara menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride, treasure hunt, pertandingan memancing, dan pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kata Muhammad Sanusi, semua pegawai daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal tersebut dan arahan berkuat kuasa serta merta.
Poster Muda Mudi Weekend Fest.
Terdahulu, aksi penonton melompat dan menari ketika konsert berlangsung tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 25 saat.
Aksi itu mengundang rasa kurang senang orang ramai khususnya individu beragama Islam memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil penganjur dan menyiasat kejadian tersebut.
"Kerajaan negeri Kedah akan memanggil penganjur dan menyiasat bagaimana konsert hiburan boleh diadakan tidak jauh dari pekarangan Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.
"Kita tidak menghalang konsert diadakan namun aksi golongan muda menari di hadapan masjid adalah melampau dan tidak beradab," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pihak penganjur untuk mengadakan konsert dalam tentatif program itu.
"Lesen hiburan di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota Setar. Pihak saya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini, termasuk memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan," jelasnya.
Menerusi tinjauan di media sosial, rata-rata netizen mengutuk aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan kumpulan muzik berlangsung.
"Jangan buka peluang untuk aktiviti maksiat, ini negara Islam, kita ada agama dan adab yang harus dijaga. Pastikan kejadian seperti ini tidak berulang," jelas mirullawang.
"Tahniah Menteri Besar Kedah atas tindakan tegas memperbetulkan keadaan untuk masa akan datang. Penganjur yang terlibat perlu dikenakan tindakan bukan mencari keuntungan melanggar undang-undang," kata Muhammad Fuzail Shukri.
"Banyakkan program selawat dan ajak orang muda ikuti majlis agama sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat dunia serta akhirat," kata kurosaki Shamsul.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram