SELEPAS membuka Liga Super musim ini dengan cemerlang, Sabah Fc ketika ini sedang mengalami rentak yang tidak menentu sekali gus menyebabkan kedudukan mereka terus goyah menjelang saingan melabuhkan tirainya musim ini.
Dengan hanya berjaya membawa pulang lima mata daripada lima perlawanan terakhir, usaha skuad itu untuk mengejar slot kelayakan ke pentas Asia musim depan dilihat semakin sukar.
Tidak cukup dengan itu, dua kekalahan berturut-turut yang dialami kepada Selangor FC dan Terengganu FC menonjolkan kelemahan mereka, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Pada Sabtu, ketika berdepan skuad Sang Penyu, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee jelas tidak dapat menyaingi rentak pihak lawan selepas dibolosi pada awal permainan sebelum kecundang 0-2.
Situasi mereka diburukkan lagi apabila pemain pertahanan, Rizal Ghazali dilayangkan kad merah pada minit ke-77 yang juga menyaksikan pemain itu tidak dapat beraksi dalam sekurang-kurangnya satu perlawanan.
Namun, persoalannya, apakah punca di sebalik kegoyahan yang dialami skuad Sang Badak selepas menjadi pakej kejutan musim ini sehingga mampu mencabar kejuaraan takhta liga?
1. Ketiadaan Tommy Mawat
Ketika baru sahaja menyertai skuad The Rhinos, Kim Swee tidak menunggu lama untuk mendapatkan barisan pemain yang dilihat mampu mengisi pendekatan taktikal bersesuaian.
Pengambilan pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar dan bekas penjaga gawang Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat dibawa masuk bagi menyuntik elemen pengalaman buat skuad itu.
Selain itu, wajah muda juga dibawa masuk dengan Dominic Tan dan Stuart Wilkin dibawa masuk bagi menambah baik kualiti dan kemampuan pasukan itu.
Antara pemain lain yang turut diambil Kim Swee ialah bekas pertahanan kiri Sarawak United FC, Tommy Mawat Bada untuk memperkuatkan lagi posisi bek kiri pasukan itu.
Penamatan kontrak Tommy Mawat (tengah) menimbulkan pelbagai spekulasi. — Facebook/Sabah FC
Meskipun baru sahaja menyertai The Rhinos, pemain berusia 27 tahun itu tidak menunggu lama dalam menunjukkan kemampuannya bagi menambah baik kemampuan benteng pertahanan.
Namun, kehadirannya bersama skuad itu tidak lama apabila kontraknya ditamatkan pada hujung Ogos walaupun sebab dan faktor tidak dijelaskan secara mendalam.
Perkara itu seakan-akan memberi impak kepada pasukan apabila Tommy merupakan pemain utama bersama Sabah FC sebelum dia tidak lagi menjadi pemain buat pasukan itu.
Kehilangannya dilihat sebagai salah satu punca di atas kegoyahan skuad The Rhinos apabila mereka hanya mempunyai Nazirul Naim sebagai pertahanan kiri.
Tidak cukup dengan itu, status penamatan kontraknya seolah-olah membangkitkan faktor mengundang rasa tidak senang buat rakan sepasukan yang mungkin kecewa dengan penamatan kontrak Tommy yang tidak jelas.
2. Penggantian Nato dengan Embalo
Antara nama yang juga dibawa masuk ketika jendela perpindahan ialah penyerang berusia 28 tahun, Neto dengan harapan kehadirannya berjaya menajamkan jentera serangan.
Tetapi, kariernya bersama skuad Sang Badak tidak lama apabila dia berhijrah selepas enam bulan untuk menyertai kelab Brazil, Vila Nova FC yang beraksi di Serie B negara itu.
Oleh itu, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menggantikan pemain kelahiran Brazil itu dengan penyerang import, Jose Embalo yang dibawa masuk pada pertengahan Julai.
Dalam tujuh perlawanan liga, Embalo hanya menjaringkan satu gol. — Facebook/Sabah FC
Namun, penggantian itu dianggap tidak berbaloi apabila setakat ini, Embalo hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan dalam Liga Super.
Perkara itu seakan-akan menyukarkan pasukan berpangkalan di Borneo itu untuk mencatatkan keputusan cemerlang dengan harapan yang diletakkan tidak membuahkan hasil.
Kehilangan Neto pasti dirindui penyokong selepas penyerang itu berjaya mencatatkan dua gol dalam enam penampilan selain mencipta dua hantaran yang dimanfaatkan rakan sepasukan.
Selain Embalo kurang disayangi dan dihargai penyokong, sumbangannya juga cukup terhad sehingga memberi kesukaran dalam mengejar slot kelayakan ke Piala AFC 2023.
Jadi, tidak menimbulkan sebarang persoalan sekiranya majoriti daripada penyokong menuding jari di atas ketiadaan Neto sebagai punca di sebalik kegoyahan pada hujung-hujung musim.
3. 'Penyakit' lama berulang
Musim lalu, Sabah FC menamatkan kempen di tangga kesembilan dengan pasukan itu mengharungi kempen yang sukar dalam usaha mereka mengelak penyingkiran ke Liga Perdana.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong berasa gembira musim ini apabila nasib pasukan itu berubah 100 peratus selepas kehadiran Kim Swee yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
Namun, sekiranya dilihat prestasi musim lalu, nasib mereka tidaklah seburuk yang digambarkan dengan prestasi pasukan itu mula merudum pada pertengahan musim.
Ketiadaan kemenangan yang dicatatkan dalam 10 perlawanan terakhir mengakibatkan mereka terdampar walaupun memulakan musim dengan cukup baik.
Musim ini pula, perkara sama seakan-akan dihadapi apabila sentuhan Kim Swee semakin kurang dirasai menjelang pelabuhan tirai musim apabila skuad The Rhinos sekali lagi bergelut mempamerkan aksi sebenar.
Sabah FC mencatatkan dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super — Facebook/Sabah FC
Kemenangan tipis yang dicatatkan ketika berdepan pasukan bermasalah, Sarawak United pada awal Ogos lalu merupakan kejayaan terakhir buat kelab itu.
Senggang masa dan kekurangan aksi Piala FA merencatkan kemaraan akhir musim apabila mereka sekali lagi menghadapi penutup musim yang tidak memberi kejayaan.
Persoalannya, adakah pasukan itu mampu mengelak nasib yang sama sekiranya mereka masih memegang hasrat untuk beraksi di pentas Asia selepas bertahun-tahun tidak berjaya melayakkan diri?
Pada masa sama, kegusaran semestinya dirasai peminat Sabah apabila mereka bakal berdepan ujian getir dengan pertembungan bersama Sri Pahang FC dan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi terakhir Liga Super, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk menempah slot beraksi di peringkat lebih tinggi musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram