Dari kena peram di JDT, baik Atiq ke Perak atau Sabah


  • Podium
  • Khamis, 29 Sep 2022

Selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang Sukma edisi ke-20, dikatakan JDT sedang merisik Muslihuddin Atiq (kiri).  Facebook/TFC

KHABAR angin mengenai perpindahan pemain Terengganu FC (TFC), Faisal Halim belum selesai, muncul pula berita terbaharu mengenai ubi muda skuad Penyu, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid yang dikatakan sedang dirisik oleh kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain sayap TFC II semakin dilihat bakatnya selepas membantu pasukan Terengganu memenangi pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) sesudah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 23 September lalu.

Bekas penyerang skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19) tersebut berjaya menyumbat tiga gol bersama Terengganu sepanjang kempen Sukma itu berlangsung.

Rumour mengenai perpindahan ke JDT itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Bagaimanapun, keputusan itu belum dimuktamadkan lagi oleh Muslihuddin Atiq berikutan dia masih mempunyai kontrak bersama Terengganu sehingga November ini.

atiq bawah

Muslihuddin Atiq bekas penyerang skuad kebangsaan B-19. — Facebook/TFC

Meskipun terdapat pihak yang berpendapat perpindahannya ke JDT itu akan membantu karier bola sepaknya namun tidak kurang ada penyokong berasa keputusan ke Harimau Selatan hanya merugikannya.

“Hahaha bagi perkuatkan bangku simpanan,” kata penyokong TFC, Mark Dean.

“Pemain cemerlang tunggu untuk diperap dalam peti sejuk JDT. Dah tahu style orang kaya nak jatuhkan pasukan lain,” ujar penyokong, Demi Sepi.

Bagi segelintir penyokong, daripada terperam bersama Harimau Selatan, adalah lebih baik pemain berusia 21 tahun itu berhijrah ke kelab lain bagi mendapatkan minit permainan.

Berikut merupakan dua kelab yang patut dipilih oleh Muslihuddin Atiq untuk mengembangkan bakatnya:

1) Sabah FC

Susulan menerima tawaran dari kelab di eropah, pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani dikhabarkan akan meninggalkan kelab tersebut dan kekehilangannya itu pasti akan menumpulkan bahagian serangan skuad The Rhinos.

saddik

Saddil mendapat tawaran daripada sebuah kelab di Liga Belarusia iaitu Dinamo Minsk. — Facebook/Sabah FC

Bermain posisi yang sama dengan pemain kelahiran Indonesia itu, Muslihuddin Atiq merupakan individu sesuai untuk merawat luka penyokong Sabah FC sekiranya Saddil berhijrah ke Eropah.

Malah, minit permainan yang cukup juga pasti akan diprolehi oleh Muslihuddin Atiq sekiranya ke Sabah FC berikutan pengendali Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee sering menggunakan penggiliran pemain dan memberi peluang kepada pemain muda.

2) Perak FC

Di bawah kendalian, ketua jurulatih baharu, Lim Teong Kim, Perak FC merupakan destinasi kedua yang sesuai untuk Muslihuddin Atiq mengeluarkan potensinya.

LTK

Teong Kim dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Perak FC untuk saingan Liga M musim 2023. — Facebook/Sabah FC

Malah, dengan pengalaman Teong Kim melatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Bundesliga, Bayern Munich selama 12 tahun, pasti bakat pemain kelahiran Felda Cherul, Kemaman itu boleh digilap oleh jurulatih berkenaan.

Bukan lagi rahsia, Teong Kim mempunyai sentuhan dan aura tersendiri untuk membentuk bakat muda seperti yang dilakukannya ketika mengendalikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menurut Teong Kim dalam laporan media sebelum ini, dia akan menggunakan khidmat pemain muda dalam pasukannya selain tidak akan mengikuti ketetapan berkenaan pemain import bagi memastikan pemain muda mendapat peluang untuk beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram