'Tapau' semua trofi, JDT juara Liga Super kali ke-9 berturut-turut


  • Podium
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Sebahagian aksi pemain JDT ketika diturunkan menentang Negeri Sembilan FC, pada Sabtu. — Facebook

JOHOR Darul Takzim (JDT) dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dengan berbaki empat perlawanan liga, sekali gus mencipta sejarah terunggul dalam arena bola sepak negara yang sukar dicabar pasukan lain.

Kejayaan itu hadir apabila skuad bimbingan Hector Bidoglio mencatat kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam aksi pada Sabtu, manakala pencabar terdekat Sabah FC tewas kepada Terengganu 0-2, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Kekalahan Sabah itu menamatkan perebutan takhta musim ini, apabila JDT yang mengumpul 46 mata daripada 18 perlawanan, tidak lagi mampu digugat skuad Sang Badak, yang mengutip 36 mata di tempat kedua dan hanya tinggal tiga perlawanan menuju penghujung musim.

Kejayaan menjuarai saingan musim 2022 juga, menyaksikan skuad Harimau Selatan berpeluang memperbaiki pencapaian mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini, apabila meraih tiket automatik ke kejohanan itu tahun hadapan.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan berganda buat JDT, selepas pasukan feeder mereka JDT II ditabalkan sebagai juara Liga Premier, pada Jumaat.

Pada aksi itu, JDT selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain sayap muda, Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velazquez, masing-masing pada minit ke-35 dan ke-37, sebelum Arif Aiman mencetak gol kedua peribadinya tiga minit selepas rehat.

Pemain import dari Brazil Bergson da Silva, turut tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring selepas menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan ke-88, untuk terus gah menerajui senarai penjaring terbanyak dengan koleksi 24 gol. Rakan sepasukan Fernando Forestieri kedua (13 gol).

Di Kuala Nerus, jaringan Pape Diakite seawal minit ketujuh dan Nik Sharif Haseefy Lazim (minit ke-30) memastikan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain, meraih tiga mata sementara Sabah FC terus gagal menamatkan kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir.

Selepas 19 perlawanan, Sabah mengumpul 36 mata, bermakna mereka ketinggalan 10 mata di belakang JDT. Walaupun mereka memenangi tiga perlawanan terakhir musim ini, mereka tidak mempunyai peluang untuk memintas JDT.

Untuk rekod, JDT menyandang gelaran Liga Super sejak 2014. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, juara liga super, liga malaysia,