[VIDEO] Gara-gara tidak puas hati, lebih 120 penyokong bola sepak terkorban akibat rusuhan


  • Benua
  • Ahad, 02 Okt 2022

Rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan mengakibatkan 127 nyawa terkorban pada Sabtu. — Agensi

LEBIH daripada 120 penyokong bola sepak dilaporkan maut selepas kekecohan dan keganasan susulan perlawanan liga bola sepak di Indonesia, lapor Detik.com.

Rusuhan penyokong itu terjadi ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada Sabtu.

Penyokong kelab Arema dan Persebaya bergaduh selepas pasukan tuan rumah tewas 2-3 dalam perlawanan tersebut.

Ketua pejabat kesihatan Malang, Wiyanto Wijoyo berkata, setakat ini dilaporkan angka korban mencecah 127 orang. Pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah mangsa yang cedera.

"Lebih daripada 120 orang meninggal dunia selepas huru-hara, kesesakan dan terpijak dan lemas," kata Wiyanto.

Pergaduhan tercetus apabila ribuan penyokong Arema masuk ke dalam padang susulan kekalahan pasukan mereka.

Pemain-pemain Persebaya segera meninggalkan padang, tetapi pemain Arema yang masih berada di atas padang turut diserang.

Laporan mengatakan kematian turut disebabkan polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan panik dalam kalangan penonton di Stadium Kanjuruhan, Indonesia.

Susulan berlakunya insiden tersebut Liga Indonesia digantung selama seminggu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram