Kaut 11 trofi, kelab lain perlu ada 5 perkara ini jika mahu saingi JDT


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

JDT dijangka terus menambah trofi kemenangan pada musim ini. — Facebook/ JDT

JOHOR Darul Takzim terus megah sebagai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) setelah berjaya menambah dua trofi ke dalam koleksi mereka dalam masa dua hari berturut-turut.

Pada Jumaat, pasukan JDT II muncul juara Liga Perdana setelah melakar kemenangan 1-0 ke atas pasukan Selangor II dalam perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.

Tepat 24 jam seterusnya, skuad utama Harimau Selatan pula mengesahkan kejuaraan mereka dalam saingan Liga Super apabila berjaya membenamkan pasukan Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.

Lebih mengagumkan, kemenangan itu meletakkan JDT selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dengan berbaki empat perlawanan liga.

Terdahulu, pasukan Harimau Selatan telah menyambar Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Presiden dan beberapa kejohanan peringkat akar umbi sekali gus membuktikan kualiti pada keseluruhan skuad dari Selatan itu.

Rekod kemenangan JDT telah menaikkan penanda aras Liga M sehingga membuatkan beberapa kelab lain termasuk Kelantan FC, Selangor FC dan Kedah FC menyatakan hasrat untuk menjadi pesaing kelab tersebut.

Proses kejayaan JDT tidak berlaku dalam sekelip mata, sudah tentu kelab-kelab lain mampu bangkit setanding JDT sekiranya mereka mampu konsisten dalam beberapa aspek berikut:

Jualan barangan rasmi antara sumber kewangan JDT. — Facebook/ JDT

1.Sumber Kewangan

Sumber kewangan merupakan asas paling penting dalam perjalanan sesebuah organisasi bola sepak agar setiap pelan dapat dilaksanakan dengan sistematik.

Sebagai pemilik mutlak, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim sentiasa memastikan JDT mempunyai sumber kewangan yang kukuh menerusi penajaan, jualan barangan rasmi JDT dan kerjasama bersama rangkaian kenalan baginda.

JDT (dulu dikenali sebagai Johor FC) tidak pernah mengalami kemelut kewangan yang menjurus kepada masalah gaji sejak pucuk pimpinannya diambil alih Tunku Ismail pada 2012.

Bekas Penganalisis Taktikal JDT, Haydee Agras pernah mencetus fenomena sebagai wanita di sebalik kejayaan JDT. — Facebook/ JDT

2. Kemantapan barisan kejurulatihan dan kakitangan

Kejayaan pasukan bola sepak bukan sahaja bergantung pada kemampuan pemain-pemain di atas padang. Malah, mereka yang berada di belakang tabir juga sama penting bagi mewujudkan sinergi dalam skuad tersebut.

Kualiti pada pasukan JDT tidak terhad pada barisan hadapan yakni pemain-pemain mereka sahaja. Dalam skuad JDT, kualiti pemegang jawatan dalam pasukan tersebut diambil kira daripada penganalisis taktikal bola sepak, jurulatih kecergasan sehinggalah pencari bakat.

JDT sentiasa memastikan hubungan baik antara penyokong dan kelab dapat dinaik tarafkan. — Facebook/ JDT

3. Sistem penyokong yang kuat

Penyokong merupakan pihak berkepentingan sesebuah kelab kerana mereka melaburkan wang dengan membeli tiket, barangan rasmi kelab, mempromosikan jenama kelab serta semangat pemain-pemain untuk terus mengharumkan nama kelab

Baru-baru ini, JDT menjalin kerjasama dengan Socios.com iaitu sebuah platform aplikasi yang menjadi penghubung dan memberi peluang ganjaran kepada penyokong.

Kewujudan platform itu memberi pengalaman berbeza dalam kalangan peminat sukan bola sepak apabila mereka turut mendapat faedah sepanjang menjadi penyokong JDT.

Unicef antara penaja rasmi JDT. — Facebook/ JDT

4. Penajaan

Wang hasil penajaan adalah salah satu sumber kewangan terbesar untuk sesetengah pasukan bolasepak dan keupayaan sesuatu pasukan bola sepak mendapatkan penajaan membuktikan pengiktirafan yang diterima mereka.

Bagi JDT, pelaburan syarikat luar negara membuktikan juara Liga Super sebanyak sembilan kali itu kini semakin dikenali di seluruh dunia dan terus mengekalkan status sebagai kelab bola sepak terbaik di Malaysia.

Selain UNICEF dan Nike, antara jenama antarabangsa lain yang turut bekerjasama dengan JDT ketika ini termasuk HUBLOT, SWAG Electric Vehicle dan Subway.

Fasiliti JDT tidak terhad pada stadium dan padang perlawanan sahaja. — Facebook/ JDT

5. Fasiliti dan kemudahan lengkap

Antara aspek paling penting dalam sukan bola sepak adalah pengetahuan mengenai sains sukan. Untuk mengaplikasikan pengetahuan tersebut, sesebuah kelab memerlukan fasiliti yang lengkap.

Selain kualiti stadium dan padang yang mempengaruhi suasana ketika perlawanan berlangsung, JDT turut mengambil berat mengenai proses pemulihan kecergasan pemain apabila melancarkan Pusat Perubatan dan Kecergasan di Pusat Latihan Seri Gelam, Johor Bahru, Johor pada 2021.

Fasiliti kelas dunia ini antara faktor pemain-pemain JDT memiliki kelebihan berbanding pemain-pemain kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram