'BAGAI pisang goreng panas', demikian situasi menggambarkan dua pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi dan Ahmad Khuzaimi Piee yang kian menjadi rebutan oleh beberapa kelab gergasi tanah air dan luar negara.
Penjaga gol dan tonggak pertahanan skuad Jang Hobin itu makin mendapat perhatian apabila sentiasa menunjukkan kecemerlangan bersama pasukan kebangsaan terutama di kejohanan jemputan Piala Raja Thai yang berakhir, pada Ahad lalu.
Ahmad Syihan baru-baru ini dikaitkan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan terbaharu timbul khabar mengaitkan perpindahan pemain kelahiran Kelantan itu ke negara jiran di utara tanah air.
Manakala Khuzaimi Piee pula dikhabarkan bakal menyertai pasukan Selangor FC pada musim depan bagi memperkuatkan lagi barisan pertahanan Gergasi Merah.
Khuzaimi dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor. — Faecbook/NSFC
Mengulas mengenai dua pemain skuad Jang Hobin itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan menegaskan bahawa tiada sebarang tawaran rasmi yang diterima oleh pihak NSFC tentang khabar berita perpindahan dua pemainnya itu.
Menurutnya, jika ada sebarang kelab memberi tawaran kepada kedua-dua pemainnya itu, keputusan akhir hanya dapat dimuktamatkan oleh mereka.
"Buat masa ini tidak ada sebarang hitam putih yang kelab terima tawaran daripada mana-mana pasukan. Secara tidak rasmi pun saya tak tahu apa-apa mengenai tawaran itu.
"Ini semua terpulang kepada pemain dan ia berkaitan masa depan mereka. Kami akan cuba untuk kekalkan mereka berdua untuk musim depan.
Devan menjelaskan bahawa pihak NSFC akan cuba kekalkan kedua-dua pemain itu untuk musim depan. — Faecbook/NSFC
"Apa-apa keputusan, kami tetap akan terima. Ada ruang untuk mereka memperbaiki diri dan mereka sudah cukup serasi dengan corak permainan yang digunakan. Malah, sudah ada persefahaman bersama pemain lain," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 55 tahun itu tetap berbangga dengan anak buahnya kerana meskipun dengan khabar angin yang ada, mereka masih memberikan konsentrasi.
"Saya tahu mereka dan cukup dewasa dan cukup matang dengan pemikiran mereka. Jadi sebarang rumours takkan ganggu konsentrasi.
"Saya rasa rumours ini tidak beri kesan kerana mereka dah memahami bola sepak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram