PERTEMUAN yang agak menarik Sabtu ini apabila pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) akan bertemu dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi saingan Liga Super.
Apa yang mencuri perhatian ialah pertembungan pemain-pemain kebangsaan yang beraksi dalam kedua-dua kelab tersebut.
Pastinya prestasi penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi yang beraksi dengan NSFC akan mendapat tumpuan ramai khususnya dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
Tambahan pula, sebahagian besar pemain Harimau Malaya terdiri daripada pemain kelab JDT seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Arif Aiman, Corbin Ong, Nazmi Faiz, Syafiq Ahmad dan Matthew Davis.
Menerusi pertemuan JDT-NSFC sebelum ini, aksi Syihan Hazmi dengan budak milo (pengutip bola) di tepi padang antara yang menjadi buah mulut penyokong.
Ketika itu, beberapa aksi Syihan berkomplot dengan budak milo sehingga melengahkan masa perlawanan menjadi tumpuan penyokong yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Aksi Syihan bersama pemain Harimau Malaya yang lain ketika kejohanan Piala Raja Thailand 2022. — Facebook / FAM
Malah, menerusi perlawanan itu juga, dapat dilihat pengadil memberi amaran kepada budak milo itu kerana dilihat seperti sengaja lewat memberikan bola kepada pemain.
Kali ini, para penyokong mengusik Syihan supaya tidak mengulangi aksi nakalnya itu.
"Jangan sampai ada 10 minit lagi Syihan...jangan 'kawtim' dengan budak milo tepi padang," kata Salleh Mahmood.
"Jangan lupa mentera tu...puh kiri puh kanan..," tulis Wan Khalis A Rahman.
"Hari tu peluru berpandu Tajikistan dia tepis...kali ni peluru berpandu gandingan Brazil-Argentina (penyerang JDT, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri) pula yang tunggu," kata Nakamura Naca pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram