'Kita tak ada kuasa nak sekat', Irfan Bakti ada pesanan buat anak didiknya


  • Podium
  • Rabu, 28 Sep 2022

IRFAN Bakti (tengah) pernah mengendali Terengganu FC beberapa musim selain berjaya menjulang beberapa trofi. — Facebook/Kuching City FC

KETUA jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim berpendapat pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak perlu tergesa-gesa untuk meninggalkan pasukan itu seperti yang dilaporkan media kebelakangan ini.

Irfan yang pernah memegang jawatan pengendali skuad Sang Penyu sebanyak dua kali, iaitu dari 2009 hingga 2011 serta dari 2017 hingga 2019 itu berkata, tempoh Nafuzi bersama kelab itu adalah terlalu singkat.

"Saya pernah mengatakan perkara itu sebelum ini, masih terlalu awal untuk Nafuzi tinggalkan Terengganu dan sepatutnya dia perlu fokus untuk membimbing pasukan itu terlebih dahulu.

"Tetapi, jika dia berasakan dia boleh meninggalkan kelab itu dan menyertai pasukan lain, nak buat macam mana?" katanya ketika dihubungi Majoriti.

Sebelum ini, tular di media sosial melaporkan Nafuzi akan menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas hampir tiga tahun bergelar ketua jurulatih Terengganu FC.

Irfan-Bakti-Nafuzi-Zain-1024x683

Nafuzi (kanan) pernah bergelar pembantu jurulatih kepada Irfan Bakti di Terengganu FC. Agensi

Meskipun tiada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak, perkara itu seperti disahkan pengendali berusia 44 tahun itu apabila dia berasakan musim 2022 merupakan yang terakhir buatnya bersama pasukan Terenggganu.

Tambah Irfan, anak muridnya itu merupakan seorang yang mempunyai minat dan keinginan untuk menimba ilmu dalam bidang kejurulatihan, namun tidak menafikan Nafuzi masih baharu.

"Nafuzi ini, dia jurulatih baharu dan belum lagi berpengalaman, tetapi dia ingin belajar. Jadi, untuk dia keluar dari Terengganu FC, saya rasa terlampau awal lagi kerana dia masih baru dalam sukan bola sepak.

"Bagaimanapun, itu adalah pilihan dia dan kita tidak mempunyai kuasa untuk sekat, cuma nasihat saya sebelum ini, jangan keluar dahulu dan kekal di Terengganu untuk empat ke lima tahun," katanya.

Ketua jurulatih berusia 71 tahun itu bagaimanapun hanya mengharapkan Nafuzi untuk kekal dan tidak bertindak mendesaknya terus kekal di Pantai Timur.

Nafuzi pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Irfan Bakti pada 2017 hingga 2019 sebelum dilantik menjadi ketua jurulatih selepas 'gurunya' itu meletak jawatan.

Sepanjang bersama Terengganu FC, Irfan Bakti pernah menjulang Piala FA pada 2011 serta muncul sebagai naib johan dalam beberapa kejohanan, seperti Liga Super dan Piala Malaysia.

Selain itu, pengendali berpengalaman itu juga sememangnya terkenal dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila dia pernah mengemudi beberapa pasukan lain seperti Felda United FC dan Penang FA.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram