JDT tertawa, Kedah berendam air mata?


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Cengkaman JDT di persada bola sepak tempatan sememangnya sukar digugat sejak sedekad. — Facebook/Johor Southern Tigers

PERBALAHAN luar padang antara pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah tidak asing dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pasukan yang mempunyai nasib berbeza di dalam dan luar padang sering menjadi bahan bualan apabila masing-masing berusaha untuk mengatasi antara satu sama lain.

Namun, kejayaan jelas memihak kepada pasukan gergasi selatan itu dengan mereka mudah mengecapi kejayaan demi kejayaan setiap musim menerusi pengurusan dan perancangan yang rapi.

Musim ini sahaja, mereka berjaya membawa pulang trofi Piala FA setelah mudah menundukkan pasukan Pantai Timur, Terengganu FC dalam aksi final yang menjadi tumpuan.

Tidak cukup dengan itu, mereka baru-baru ini berjaya mengesahkan status sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut berikutan kekalahan pasukan di tangga kedua, Sabah FC di tangan Terengganu FC pada Sabtu.

306522789_2401658866664065_7139299726502068104_n

Harimau Selatan muncul sebagai juara kali kesembilan berturut-turut Liga Super. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perkara itu pastinya memberi keriangan kepada penyokong Harimau Selatan apabila kejayaan mereka sekali lagi membuktikan kemahiran dan sentuhan yang dibawa TMJ membuahkan hasil.

"Tahniah buat pasukan JDT dan seluruh rakyat Johor dan syabas juga buat pihak pengurusan, penyokong dan juga kepada pemilik, TMJ kerana tanpa baginda, tidak mungkin sukan negeri ini terkenal di mata dunia," kata Roy A. Rabindranath.

"Malam ini, kejayaan disajikan dengan rentak permainan menentang Negeri Sembilan FC (menang 5-0) sebagai seorang juara, memang cukup puas hati. Tahniah kepada JDT dan juga pemilik, TMJ," kata Mohdfuhadkhalid Khalid.

Keriangan itu semakin membara apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal menundukkan pasukan Lembah Klang, Petaling Jaya (PJ) City FC di laman sendiri apabila tewas tipis 0-1 dalam satu lagi aksi Liga Super pada Sabtu.

Kekalahan ketujuh dalam liga menyukarkan lagi usaha skuad Sang Kenari dalam melayakkan diri ke pentas Asia musim depan apabila mereka masih lagi terdampar di kedudukan ketujuh.

307208384_517381303556558_5696665003746370453_n

Skuad Sang Kenari gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Berikutan kekalahan itu, laman media sosial mereka dihujani komen daripada penyokong Harimau Selatan yang tidak henti-henti menjadikan kekalahan itu sebagai bahan jenaka.

"Apabila Presiden KFA menjadikan JDT sebagai bahan ketawa, ramai penyokong Hijau Kuning yang memberi dorongan kepadanya sehingga meminta beliau menaikkan lagi api hiburan.

"Tetapi, ketika ini, apabila kalah, sunyi sahaja penyokong KDA FC sehingga dipenuhi komen daripada penyokong JDT, salam perpaduan daripada anak Johor," kata Anuar Sabran.

"Penyokong Kedah pernah memberi kecaman kepada JDT kerana sekadar seri ketika bertemu PJ City FC kerana mereka tiada pemain import. Tetapi tadi, mereka pula kalah," komen Lann Yusof.

Selepas ini, KDA FC ini akan menerima kunjungan skuad kendalian Hector Bidoglio di Stadium Darul Aman pada Selasa dan pertembungan itu pastinya dipenuhi sorakan dan 'usikan' daripada penyokong Harimau Selatan.

Bagi JDT pula, kejayaan untuk mengesahkan diri sebagai juara Liga Super membuktikan kejayaan mereka dalam sukan bola sepak tahun ini selepas JDT II turut dinobatkan sebagai pemenang Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram