Mahu jadi pemain esports sejati? Buat 5 perkara ini jika ingin bergelar pro


  • eSports
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Banyak kejohanan esports yang dianjurkan menjanjikan ganjaran yang sangat lumayan buat gamers. — Agensi

JIKA sedikit masa dahulu, bermain permainan video dilihat satu perkara yang membuang masa, namun kini tidak lagi.

Apa tidaknya, aktiviti ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai kerjaya dan memberikan pendapatan yang lumayan.

Ia tidak menghairankan kerana banyak kejohanan esports yang diadakan menjanjikan ganjaran yang sangat lumayan, malah seorang rakyat Malaysia yang berpangkalan di China pernah membawa pulang RM21.7 juta selepas muncul naib juara pada kejohanan DOTA di Romania pada 2021.

Bagi individu yang meminati permainan esports mungkin tertanya bagaimana untuk menjadi pemain profesional, sama ada ingin menyertai kejohanan secara berseorangan atau berpasukan, Majoriti menyediakan beberapa pelan yang boleh diikuti untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya.

MATLAMAT

Motivasi positif adalah perkara yang akan membuatkan pemain sentiasa mahu kekal dalam dunia esports. Agensi

1. Matlamat

Penting untuk bermain esports atas niat yang betul. Pemain profesional perlu ada sikap suka bersaing untuk mendapatkan kepuasan ketika bermain dan rasa menyumbang kepada pasukan dan komuniti adalah antara alasan yang betul untuk sertai dunia esports.

Dalam jangka panjang, motivasi positif adalah perkara yang akan membuatkan pemain sentiasa mahu kekal dalam dunia esports.

Pemain yang didorongi wang tunai, kemasyhuran dan kejayaan segera, sebaliknya mungkin akan cepat rasa putus asa sebelum dapat menjadi seorang pemain yang profesional.

BERLATIH

Seorang pemain yang bagus adalah individu yang mempunyai banyak strategi. Agensi

2. Selalu berlatih

Jika mahu menjadi juara, maka latihan adalah perkara asas yang sangat penting.

Perkara pertama yang boleh lakukan adalah dengan menguasai permainan. Tumpukan pada pembelajaran kemahiran khusus permainan sehingga ia menjadi sebati dalam diri anda.

Semasa mengasah kemahiran, lakukan penyelidikan berkenaan strategi ketika bermain.

Seorang pemain yang bagus adalah individu yang mempunyai banyak strategi, seperti apa yang perlu dilakukan jika terlibat dalam situasi tertentu.

Salah satu caranya ialah menonton cara pemain esports terbaik bermain dan cari video rakaman atau strim langsung untuk mempelajari strategi yang baik serta rujukan tentang cara bermain.

RANKING

Setiap pertandingan esports mempunyai sistem tersendiri untuk membawa pemain baharu ke dalam kumpulan. Agensi

3. Ranking

Jika ingin menjadi seorang pemain profesional, anda perlu sentiasa mempunyai keinginan untuk menang.

Ini bermakna mendahului papan mata dalam kumpulan, mendaki ranking, dan menjadi pasukan terakhir yang masih berdiri dalam sesebuah kejohanan.

Biasakan dengan hierarki peringkat persaingan, kerana setiap pertandingan esports mempunyai sistem tersendiri untuk membawa pemain baharu ke dalam kumpulan.

Sebagai contoh, dalam Counter Strike: GO, pemain yang biasanya bermula dari permainan umum kepada ‘match-up’ dan kemudian masuk ke liga dan kejohanan.

Mendaki ranking juga membolehkan seorang pemain baharu mencipta nama yang akan membantu mereka mencari tempat dalam pasukan amatur, yang mana boleh menjadi batu loncatan kepada pasukan profesional.

HUBUNGAN

Membina hubungan dengan pemain yang lebih baik boleh membawa kepada perkara yang lebih besar. Agensi

4. Bina hubungan

Bermain dengan baik tidak cukup, anda juga perlu ada hubungan dengan pemain lain untuk berjaya.

Sebaik sahaja sudah berada di persekitaran yang lebih kompetitif, mulakan membuat hubungan, memanfaatkan kedudukan anda sebagai lawan yang berkualiti untuk berhubung dengan pemain yang lebih baik.

Membina hubungan dengan pemain yang lebih baik boleh membawa kepada perkara yang lebih besar, seperti jemputan ke saluran Discord peribadi, yang mana anda berpeluang bermain dalam stream eksklusif dan bergaul dengan pemain elit.

Persekitaran seperti ini adalah tempat pemain cenderung untuk mendapat perhatian pasukan profesional.

KESIHATAN

Mengekalkan gaya hidup sihat akan membolehkan anda kekal bermotivasi dengan lebih lama untuk menajamkan lagi kemahiran permainan anda. Agensi

5. Gaya hidup

Pemain profesional mesti belajar cara untuk mengimbangi aktiviti bermain dengan rutin harian.

Ini kerana pendekatan menyeluruh untuk memastikan kualiti latihan yang bagus adalah termasuk pemakanan yang betul, senaman dan kehidupan sosial yang aktif bagi meningkatkan fokus mental dan mencegah keletihan.

Mengekalkan gaya hidup sihat akan membolehkan anda kekal bermotivasi dengan lebih lama untuk menajamkan lagi kemahiran permainan yang akhirnya akan menarik minat pasukan profesional.

Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pemain esports yang berjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram