SAMA ada anda suka bermain permainan video atau tidak pernah memegang alat joystick, pasti anda pernah mendengar tentang esports.
Industri yang dianggarkan bernilai hampir RM6 bilion pada 2020, dengan beberapa pemain yang sudah bersaing untuk hadiah terkumpul sehingga RM100 juta, esports juga sukar difahami dan tidak sama seperti sukan yang biasanya dikaitkan dengan persaingan pada skala global.
Disebabkan itu, Gamesbond (GB) antara salah satu syarikat yang bertanggungjawab mewujudkan komuniti esports dalam negara dengan pelbagai program yang dianjurkan mereka termasuklah GB Days Out yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, Johor bermula pukul 7.30 pagi hingga 4 petang pada Sabtu.
Menurut Pengarah Gamesbond, Suki Lee, GB Days Out dianjurkan bertujuan untuk menghargai setiap penyokong GB dan mengenali mereka secara lebih dekat.
"GB Days Out adalah program bertemu dengan penyokong yang selama ini sentiasa menyokong pergerakan Gamesbond.
"Kami ingin bertemu dan outreach kepada mereka yang menyokong Gamesbond dari luar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya pada Majoriti.
GB merupakan antara salah satu syarikat yang bertanggungjawab mewujudkan komuniti esports dalam negara.
Tambahnya lagi, tujuan lain bagi program tersebut adalah untuk memperkenalkan orang ramai apa itu industri esports serta memberi peluang kepada penyokong GB untuk menguji kekuatan bersama pemain pro FIFA kebangsaan.
"Kami mengadakan Experience Zone PS5 bersama BenQ monitor dan sesi Challenge the Pro.
"Challenge the Pro ialah aktiviti yang memberi peluang kepada orang ramai yang hadir bagi menguji kehebatan mereka dalam permainan FIFA bersama pemain yang pernah bertanding dalam kejohanan FIFAe Club World Cup.
"Dalam masa yang sama, kami juga ingin memperkenalkan esports kepada umum," jelasnya.
Menurutnya lagi, pihak pengurusan Stadium Sultan Ibrahim, Johor bakal menganjurkan satu acara yang dikenali Sparta Run sekali gus mereka menjemput GB untuk memeriahkan majlis tersebut.
"Kami dijemput dan dibenarkan untuk memeriahkan lagi aktiviti Sparta Run dengan mengadakan GB Days Out yang dianjurkan di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu," luahnya.
GBX Esports berada di tangga kedua kumpulan D dan melayakkan pasukan itu ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut.
Terdahulu, Gamesbond pernah membawa pasukan GBX Esports mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama Malaysia layak ke kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 yang berlangsung di Copenhagen, Denmark pada Julai.
Ketika itu, GBX Esport tetap mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram