GB usaha sehabis baik bawa JDT ke dunia FIFA 23


  • eSports
  • Rabu, 28 Sep 2022

Teka teki penglibatan JDT dalam FIFA 23 masih lagi dalam peringkat perbincangan. — Instagram

PENYOKONG bola sepak dan peminat permainan video FIFA pastinya teruja apabila Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (TMJ) memberikan gambaran awal mengenai penglibatan Johor Darul Takzim (JDT) dalam permainan tersebut.

Semuanya gara-gara jawapan TMJ mengenai pertanyaan seorang pengguna Twitter yang menanyakan adakah JDT juga akan berada dalam permainan video tersebut di masa akan datang.

TMJ membalas pertanyaan individu tersebut dengan jawapan 'ya' di ruangan komen Twitter berkenaan.

Dalam pada itu, TMJ juga mengucapkan penghargaan kepada Gamesbond (GB) iaitu salah satu syarikat yang menjadi agensi pemasaran rasmi EA Sport untuk menaikkan komuniti FIFA di rantau Asia Tenggara.

Ucapan penghargaan tersebut dihamburkan selepas GB memberi peluang kepada TMJ untuk menjadi individu terawal merasai pengalaman bermain permainan FIFA 23 sebelum tarikh pelancarannya.

309118167_5106126276169202_631858217233302088_n

Tangkap layar perkongsian TMJ menerusi Instastory sedang bermain FIFA 23.

Menurut Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak berkata, kerjasama di antara GB dan JDT masih dalam peringkat perbincangan dan mereka akan memaklumkan apabila tiba masanya.

"Perancangan untuk ke arah kerjasama masih lagi dalam perbincangan dan kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, teka-teki mengenai kemunculan pasukan JDT dalam permainan video FIFA akan mereka usahakan sehabis baik bagi merealisasikan impian tersebut.

"Kami mencuba yang terbaik untuk memastikan elemen JDT itu hadir di dalam FIFA edisi kali ini.

"Setidaknya ia dapat membuka mata pengeluar game ini untuk memastikan pasukan JDT berada di dalam FIFA pada masa akan datang," ujarnya.

Menurutnya lagi, pemilihan atau kriteria kelab untuk berada dalam permainan tersebut selalunya akan ditentukan oleh pihak pengeluar FIFA.

"Ciri-ciri pasukan atau kelab biasanya ditetapkan oleh pengeluar FIFA itu sendiri.

"Tetapi sudah semestinya pasukan yang berpengaruh seperti JDT amatlah layak untuk berada di dalam permainan FIFA.

"Seperti yang kami maklumkan, segala bentuk kolaborasi masih dalam perbincangan dan akan kami umumkan dalam masa terdekat ini," jelasnya.

1670907

GBX Esports berada di tangga kedua kumpulan D dan melayakkan pasukan itu ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut.

Ini bukanlah kali pertama JDT dan GB bekerjasama yang mana sebelum ini JDT pernah menaja perbelanjaan pasukan GBX esports ke kejohanan FIFAe Club World Cup 2022.

Berbalik kepada jawapan 'ya' oleh TMJ itu bermaksud pengesahan kepada sangkaan peminat atau sekadar salah faham, sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, FIFA 23, TMJ, Gamesbond, EA Sports