GBX idam mara lebih jauh menjelang aksi FIFAe Club World Cup 2023


  • eSports
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

GBX Esports mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan FIFAe Club World Cup 2022. — Facebook/ GBX Esports

PERMAINAN video FIFA 23 keluaran Electronic Arts (EA) akan dilancarkan secara rasmi pada akhir September nanti.

Ini bermakna pasukan-pasukan Esports yang menyertai acara FIFA di peringkat antarabangsa mahupun tempatan akan mengharungi cabaran baru dalam permainan tersebut.

Begitu juga GBX Esports (GBX) yang pernah mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan FIFAe Club World Cup 2022.

Dalam kejohanan tersebut GBX diundi bersama-sama lima pasukan gergasi kumpulan D yang mana mereka adalah pasukan Neo, Gullit, Dux America, FNatic dan Dire Wolves.

1670907

GBX Esports menetapkan sasaran menyertai kejohanan terbesar FIFA iaitu FIFAe Club World Cup.

Apabila ditanya bagaimanakah persiapan bagi mengharungi musim hadapan, Pengurus Pasukan GBX, Aris Danial, 23, berkata, mereka teruja dan akan sentiasa berlatih bagi menyesuaikan diri dengan permainan tersebut.

"Kami teruja untuk menghadapi musim baharu di mana akan ada lebih banyak cabaran menanti.

"Sepertimana yang diketahui umum, musim baharu didatangi bersama dengan siri FIFA yang baharu di mana sistem permainan yang diperbaharui juga menjadikan satu asbab untuk pemain GBX berlatih lebih masa supaya dapat menyesuaikan diri dengan siri terbaharu FIFA23," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, mereka sudah menetapkan sasaran musim hadapan bagi menyertai kejohanan terbesar FIFA iaitu FIFAe Club World Cup dan meletakkan harapan untuk melihat pasukannya mencapai lebih banyak kejayaan.

"Sudah semestinya kejohanan rasmi FIFAe Club World Cup. Kami yakin pemain GBX mampu melayakkan diri sekali lagi ke pentas akhir kejohanan pada musim depan.

"Harapan kami semestinya mahu berikan yang terbaik di setiap perlawanan, selain melihat pemain GBX meraih kejayaan demi kejayaan pada musim hadapan," jelasnya.

1200x675

Pasukan Riders dari Sepanyol menewaskan SAF dengan agregat 2-1 sekali gus merebut hadiah bernilai USD 300,000 (RM1.2juta). Agensi

Sebelum ini perjalanan GBX dalam FIFAe Club World Cup terhenti apabila tewas tipis kepada pasukan SAF dengan agregat 5-7 walaupun pada awalnya berjaya menewaskan pihak lawan dalam pusingan 16 (pertama) dengan jaringan 3-1.

Kejohanan tersebut berjaya dimenangi oleh pasukan Riders daripada Sepanyol yang menewaskan SAF dengan agregat 2-1 sekali gus merebut hadiah bernilai USD 300,000 (RM1.2 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram