PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Isnin mengumumkan usahawan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebagai pemilik saham terbesar Darul Aman Football Club Sdn Bhd.
Tambah manis lagi buat penyokong Sang Kenari apabila pemilik baharu KDA FC itu mengumumkan akan membuat satu bentuk kerjasama dengan sebuah kelab di Thailand, Pattani FC.
Tidak berdiam diri melihat kelab jiran mengorak langkah lebih maju, seorang penyokong Penang FC, AK meluahkan hasratnya ingin melihat skuad Harimau Kumbang mempunyai pemilik bagi memperbaiki dan menambah baik pasukan supaya tidak ketinggalan dengan kelab lain, bermula musim depan.
"Siapa yang ada kenalan dengan jutawan cuba pujuk dia beli Penang FC, itu sahaja cara nak selamatkan pasukan kita dan tendang keluar pihak pengurusan dan pemain-pemain yang tidak beri apa-apa sumbangan," luahnya dalam Facebook.
Sebelum ini beberapa kelab seperti Johor Darul Takzim (JDT), Kelantan FC dan Selangor FC sudah membuktikan dengan adanya pemilik, kelab tersebut akan menjadi lebih baik dari segi pengurusan dan pencapaian dalam padang.
Ini lima sebab kenapa Penang FC perlu ada pemilik seperti TMJ jika mahu lebih berjaya:
Tangkap layar aduan gaji pemain. — PFAM
1. Tiada lagi isu tidak membayar gaji
Umum ketahui kewangan menjadi sumber utama bagi sesebuah pasukan bola sepak untuk terus beroperasi dan berdaya saing dalam pertandingan yang mereka sertai.
Dalam Liga Malaysia (Liga M) isu utama sering menganggu pasukan ialah masalah pembayaran gaji yang mana ada kelab memakan masa lebih lima bulan membiarkan gaji pemain tertunggak.
Selalunya jika perkara ini berlaku dan individu yang bertanggungjawab meletakkan jawatan dia akan terlepas dari segala bebanan hutang gaji pemain kerana tidak memiliki sebarang kepentingan dalam pasukan tersebut.
Disebabkan itu, pihak pengurusan Penang perlu mencari pemilik yang baik bagi mengelakkan isu tunggakan gaji di masa akan datang.
Selain itu juga, pemilik kelab boleh memainkan peranan dengan menambah dana pasukan bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada pada kelab.
JDT menandatangani Jordi Amat sebagai pemain import musim hadapan untuk memperkuatkan pasukan serta mendapatkan khidmatnya secara percuma. — Facebook/JDT
2. Perancangan pasukan lebih teratur
Kehadiran Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik pasukan JDT boleh menjadi contoh terbaik yang mana beliau mampu mengubah skuad Harimau Selatan menjadi kelab yang digeruni ramai.
TMJ begitu dikenali dengan sikap profesionalnya dalam merencana strategi dengan begitu teliti buat JDT setiap kali musim baharu membuka tirai.
Sebagai contoh, JDT menandatangani Jordi Amat sebagai pemain import musim hadapan untuk memperkuatkan pasukan serta mendapatkan khidmatnya secara percuma.
Mungkin tidak mudah buat pasukan Penang untuk menjadi hebat seperti JDT dalam tempoh masa yang singkat, tetapi jika Penang mempunyai pemilik, sekurang-kurangnya perancang pasukan akan lebih baik.
Ini kerana setiap pemilik yang sudah melabur jutaan ringgit bagi pasukannya pastikan mahu pulangan yang lumayan seperti kejayaaan di dalam kelab mahupun luar padang.
Selangor FC boleh dijadikan sebagai contoh oleh pasukan lain kerana pada musim ini mereka sudah pun berjaya mendapat tajaan bernilai RM6.6 juta. — Facebook/Selangor FC
3. Menarik minat syarikat lain untuk melabur
Hubungan antara sesebuah pasukan bola sepak dengan penaja bagaikan ‘aur dengan tebing’ kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.
Ini kerana dengan tajaan dapat membantu perbelanjaan sesebuah pasukan bola sepak untuk mengharungi saingan liga, manakala penaja pula akan mendapat iklan pemasaran sekali gus dapat memberi pulangan keuntungan buat penaja.
Di bawah pemilikan Raja Muda Selangor (RMS), Selangor FC boleh dijadikan sebagai contoh oleh pasukan lain kerana pada musim ini mereka sudah pun berjaya mendapat tajaan bernilai RM6.6 juta.
Dengan mempunyai individu yang berpengaruh besar seperti RMS sebagai pemilik Selangor berjaya menarik minat beberapa syarikat untuk melabur dalam pasukan mereka.
Cuma pada masa sama, masih ramai penyokong Gergasi Merah yang tidak gembira dengan prestasi semasa kelab itu dalam saingan domestik, sambil menyifatkan pengurusan yang bagus seharusnya tidak terlepas pandang keupayaan kelab memberikan saingan khususnya pemilihan pemain dan taktikal kejurulatihan, bukannya sekadar berjaya menarik minat pelabur.
Selain Selangor, JDT, KDA FC dan Kelantan juga antara pasukan yang boleh dijadikan sebagai contoh berikutan mereka juga pada musim ini berjaya menarik banyak penaja.
MFL menetapkan semua kelab bertanding perlu memiliki pemilik bagi mendapatkan lesen kelab kebangsaan. — Facebook/MFL
4. Selaras dengan era penswastaan kelab bolasepak di Malaysia
Langkah penswastaan semua pasukan bertanding dalam saingan Liga M dengan masing-masing mempunyai pemilik dilihat sebagai salah satu jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah bagi kelab bola sepak di Malaysia.
Sebelum ini, MFL menetapkan semua kelab bertanding perlu memiliki pemilik bagi mendapatkan lesen kelab kebangsaan yang sekali gus mengesahkan mereka boleh beraksi dalam saingan Liga M.
Senario itu dilihat memberikan dimensi baharu dalam arena bola sepak tanah air terutamanya apabila proses penswastaan berkenaan yang mana ia mengubah status FA kepada FC.
Ia sekali gus memisahkan secara total pentadbiran serta pengurusan lama yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh ‘pemilik baharu’ kelab berkenaan tanpa penglibatan daripada pihak pentadbiran dan pengurusan terdahulu.
Penang FC memerlukan individu yang lebih arif dan agresif tentang dunia bola sepak untuk menjadi pemilik pasukan mereka.
Kelantan berjaya memberi saingan dengan menduduki tangga kedua liga dan dibezakan tiga mata dibelakang pendahulu liga, JDT II. — Facebook/MFL
5. Bawa pasukan ke arah yang lebih baik seperti JDT dan Kelantan
Kejayaan JDT dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa sememangnya menjadi inspirasi kepada banyak pihak sama ada di dalam atau luar negara.
Banyak kelab sudah mula membuka mata dan mahu mengikuti formula kejayaan pasukan itu di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sebelum ini meluahkan rasa kagumnya terhadap kejayaan JDT dan bertekad mahu mengikut jejak pasukan itu.
Buktinya pada musim ini dalam Liga Perdana, Kelantan berjaya memberi saingan dengan menduduki tangga kedua liga dan dibezakan tiga mata di belakang pendahulu liga, JDT II ketika aksi cuma berbaki satu perlawanan.
Manakala pasukan Selangor yang masih belum dapat menandingi kejayaan JDT tetap nampak akan hala tuju kelab yang lebih fokus dengan pembangunan pemain muda dan merchandise pasukan.
Di sini dapat dilihat dengan kehadiran pemilik yang mempunyai jiwa bola sepak, pasukan tersebut akan menjadi lebih baik dengan hala tuju yang ditetapkan dan kelab juga tidak lagi terpalit dengan isu masalah gaji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram