'Jangan aniaya mereka', Jamal Nasir kritik tunggakan gaji Melaka United


  • Podium
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Pemain Melaka United turun padang tanpa ganjaran selayaknya. — Facebook/Melaka United FC

TIKET Piala Malaysia Melaka United FC (MUFC) 'dirampas' Perbadanan Malaysian Football League (MFL) ekoran masalah tunggakan gaji yang masih tidak berpenghujung.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat, hukuman yang dikenakan berikutan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji kepada pemain MUFC adalah satu tindakan tepat.

Beliau berkata, larangan beraksi dalam kejohanan berprestij seperti Piala Malaysia itu sudah cukup memberi kesan kepada pasukan.

“Bagi saya, ia juga merupakan satu tindakan yang cukup drastik sebenarnya.

"Lagipun larangan beraksi di Piala Malaysia ini berkemungkinan tindakan pertama MFL dan apabila masih gagal menjelaskan tunggakan gaji, mungkin pengurusan pasukan berdepan tindakan kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah selesai kesemua bayaran tunggakan gaji tersebut.

“Para pemain pasukan juga sudah pasti akan berasa terlalu kecewa dengan situasi ini, apatah lagi setelah penat beraksi dengan mengikat perut akibat tunggakan gaji, akhirnya pasukan tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia kali ini,” katanya pada Khamis.

Pada Rabu, MFL mengumumkan bahawa Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berkenaan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Skuad Hang Tuah itu sebelum ini menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapatkan persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai terlibat sehingga 20 September.

Bagaimanapun, pengurusan kelab hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun lalu.

Sementara itu, Jamal Nasir menegaskan bahawa isu tunggakan gaji tidak seharusnya berlaku lagi dalam era profesional bola sepak negara hari ini.

Katanya, jika isu sedemikian masih berterusan, ia secara tidak langsung menggambarkan bola sepak negara belum boleh dilabel sebagai profesional.

“Sebenarnya isu tunggakan gaji tak perlu bincang-bincang lagi kerana setiap kelab Liga Malaysia sudah tahu tanggungjawab masing-masing.

“Pemain-pemain ini semua cari makan dengan main bola, apabila berlaku tunggakan gaji seperti ni, macam mana nak bayar kereta, bayar rumah, anak sekolah dan lain-lain. Jangan aniaya mereka.

“Kelab juga sepatutnya mencari penaja yang lebih berkemampuan supaya tidak timbul masalah terutamanya tunggakan gaji ini pada masa akan datang,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram